Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya agak terkejut dan kecewa apabila pelbagai pihak melenting apabila perbahasan perhimpunan agung Umno 2006 disiarkan secara langsung melalui siaran Astro.

Persoalannya, di pentas manakah lagi ahli-ahli Umno dan para-para perwakilan perlu meluahkan suara ahli akar umbi? Adakah cukup hanya sekadar di kedai-kedai kopi atau di lobi-lobi hotel?

Adakah adil Umno dan kerajaan diserang serta dituduh tidak adil? Saya ingin membawa perhatian pembaca bahawa perbahasan yang keterlaluan adalah sekadar reaksi dan saranan ikhlas yang dibuat terhadap parti dan kerajaan. Mereka sebenarnya membawa suara dan keluhan ahli parti dan rakyat di peringkat bawahan.

Adakah ini dikatakan keterlaluan? Oleh itu pucuk pimpinan parti yang ingin bertindak terhadap pembahas-pembahas ini perlu kembali menilai keadaan semasa. Jangan hanya sekadar ingin menjaga hati rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional sahaja.

Saya nampak tidak ada perbezaannya dengan perhimpunan agung yang lalu. Setiap pembahas tidak kira yang menyokong mahupun mencadang diberi kebebasan untuk memperkatakan apa jua isu yang mereka rasakan perlu. Cuma pada tahun ini, ada liputan secara langsung. Perkara ini tidak perlulah dijadikan isu besar.

Saya ingin mencadangkan pada pucuk pimpinan agar untuk tahun yang akan datang agar disediakan garis panduan untuk semua pembahas bagi membolehkan mereka mengenali batas-batas tertentu.

Saya juga ingin meminta agar pucuk pimpinan parti sentiasa berlapang dada menerima pelbagai bentuk teguran dan tindakan.

Segala jenis teguran itu tidak harus dijadikan satu bentuk serangan peribadi ataupun berniat sebaliknya, tetapi harus dijadikan satu pemangkin ataupun pembakar semangat untuk berkhidmat kepada parti dengan lebih baik lagi.

Pembahas juga perlu diberi garis panduan dan peringatan untuk tidak menjadikan pentas perhimpunan agung medan pencetus perpecahan akibat daripada serangan yang melampau dan lebih bersifat peribadi.

Umno bukan satu-satunya parti yang perlu menyediakan garis panduan bagi setiap jurucakap. Parti-parti komponen lain juga perlu menyediakan garis panduan bagi jurucakap-jurucakap mereka. Mereka perlu diberi pengajaran agar tidak melampaui batas khususnya dalam mempersoalkan intipati kontrak sosial yang telah lama dijadikan pegangan.

Perlu diingat yang mengundang reaksi keterlaluan pembahas-pembahas Umno adalah apabila hak Melayu dipertikaian dan apabila para pemimpin komponen BN seolah-olah tidak faham dan membiarkan situasi ini terus menular di peringkat bawahan parti mereka.

Rasanya kita mungkin tidak dapat membendung emosi pembahas-pembahas Umno pada masa akan datang sekiranya perkara ini terus dibiarkan. Undang-undang sebesar mana sekalipun tidak dapat menahan mereka bila hak dan agama mereka dicabar sedemikian rupa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS