PRN MELAKA | MCA mendapat satu lagi kerusi tambahan untuk menjadi medan pertaruhan mereka pada 14 Nov nanti selepas DUN Kota Laksamana diserahkan semula oleh PN.

Presiden MCA, Wee Ka Siong, berkata PN secara sukarela menyerahkan semula kerusi itu kepada BN dan MCA bersetuju untuk mempertaruhkan calon mereka.

Bagaimanapun kerusi yang diserahkan oleh PN kepada MCA itu bukanlah boleh dipandang mudah atau sangat berpotensi untuk dimenangi.

"Seperti mana saya sebut beberapa hari lalu bahwa MCA bersiap-siaga untuk menyahut dan menerima apa juga cabaran atau dugaan dan kita tetap bersama rakyat.

“Kita tidak gentar, kita akan menghantar calon untuk bertanding di DUN Kota Laksamana,” katanya pada sidang media di Melaka hari ini.

Wee yang juga bekas menteri pengangkutan itu menjelaskan, MCA mencalonkan Melvin Chua sebagai pertaruhan BN di kerusi Kota Laksamana.

Katanya, nama Chua sudah dipersetujui oleh Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu Malaysiakini difahamkan PN enggan meletakkan calonnya di kerusi tersebut dan membuka tawaran kepada komponen BN untuk bertanding.

Keputusan itu menjadikan PN hanya kekal bertanding di lima kerusi seperti diumumkan malam tadi, manakala MCA bertanding di empat kerusi berbanding dua kerusi pada asalnya.

Sebelum ini, BN membuat keputusan untuk bertanding di 21, manakala tujuh kerusi lagi diserahkan kepada PN termasuk DUN Kota Laksamana.

Pernah cuba nasib melawan

Wee ketika dihubungi Malaysiakini pada awal petang ini memberi gambaran positif mengenai perkara itu.

"PN serah kerusi DUN, bukan PAS," katanya ringkas sebagai respon ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya adakah pihaknya menerima tawaran daripada PAS untuk MCA bertanding di DUN Kota Laksamana.

PN malam tadi mengumumkan lima daripada enam kerusi yang akan diwakili gabungan itu. Dua kerusi masing-masing diperuntukkan kepada PAS dan Wawasan, manakala satu kerusi akan ditandingi Gerakan.

Lima kerusi yang mendapat laluan daripada BN ialah Hang Tuah Jaya, Paya Rumput, Bukit Katil, Bemban, Kesidang.

Terdahulu MCA pada awalnya dipersiapkan oleh BN dengan hanya dua kerusi untuk ditandingi iaitu Machap Jaya dan Kelebang. Pengagihan itu – yang didakwa MCA dibuat tanpa rundingan menyeluruh atau restu kepimpinan tertinggi mereka.

Bagaimanapun semalam, mereka kemudiannya diberikan satu kerusi tambahan oleh BN iaitu DUN Bandar Hilir.

Empat calon yang dipertaruhkan oleh MCA bagi pihak BN kali ini.

Sebelum ini Ngwe Hee Sem dinamakan sebagai calon MCA-BN bagi mempertahankan kerusinya DUN Machap Jaya, manakala Lim Ban Hong di Kelebang.

Jasmine Lok Huey Yee pula berdepan tugas mencabar untuk merampas kerusi Bandar Hilir daripada PH yang dimenangi DAP-PH pada 2021 dengan majoriti 7,778 undi.

DUN Kota Laksamana pula merupakan kubu kuat DAP dan ia disandang oleh Low Chee Leong sejak 2018.

Pada PRN Melaka 2021, dia mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 11,494 undi menewaskan calon MCA dan Gerakan.

Kali ini Low sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab memenangkan PH.

Chua merupakan seorang daripada anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan pernah mencuba nasib untuk merampas kerusi DUN Kota Laksamana pada 2018. Namun dia ditinggalkan jauh oleh Low dengan perbezaan 16,173 undi.