Bersatu lawan PH di Melaka walau meterai CSA
Bersatu tetap akan bertembung dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, meskipun ahli parlimennya baru memeterai perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dengan kerajaan Madani pimpinan gabungan itu.
Parti itu malam tadi mengumumkan calon bagi lapan kerusi, termasuk empat yang turut ditandingi PH: Kelebang, Gadek, Pengkalan Batu dan Ayer Keroh.
Pengumuman itu menunjukkan kerjasama di peringkat persekutuan belum diterjemahkan kepada pakatan pilihan raya antara kedua-dua pihak di Melaka.
Bersatu akan menentang DAP di Gadek, Pengkalan Batu dan Ayer Keroh, manakala di Kelebang, parti itu bakal berdepan PKR.
Antara calon tumpuan Bersatu ialah bekas Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee, yang kembali bertanding di kerusi berkenaan.
Norhizam, yang dikenali sebagai “Hulk” Melaka, pernah menganggotai Umno dan DAP sebelum menjadi wakil rakyat bebas, kemudian menyertai Bersatu. Dia kini memburu kemenangan kedua di kerusi itu.
Selain bertembung dengan PH, Bersatu turut berdepan Perikatan Nasional (PN) di Ayer Keroh dan Bemban, ketika hubungan parti itu dengan gabungan berkenaan semakin renggang.
Ayer Keroh dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandang daripada DAP, Kerk Chee Yee, Pengerusi Gerakan Melaka Gan Peng Lam, serta calon Bersatu dan Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Di Bemban pula, Ketua Pembangkang Melaka Mohd Yadzil Yaakub akan mempertahankan kerusi itu atas tiket PN, menentang calon Bersatu dan Bersama.
DAP yang secara tradisinya bertanding di Bemban memilih untuk tidak meletakkan calon kali ini kerana menganggap peluang menang tipis.
Tiga lagi kerusi yang ditandingi Bersatu ialah Lendu, Sungai Udang dan Pantai Kundor.
Sementara itu, PN yang menghadapi pilihan raya buat kali kedua tanpa penyertaan Bersatu mengumumkan calon bagi lima daripada enam kerusi yang akan ditandinginya.
Lima kerusi berkenaan ialah Ayer Keroh, Bemban, Paya Rumput, Kesidang dan Bukit Katil, yang disandang Pengerusi PH Melaka Adly Zahari.
Daripada lima calon yang diumumkan, PAS dan Parti Wawasan Negara masing-masing menampilkan dua calon, manakala Gerakan seorang.
Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar berkata malam tadi, calon bagi kerusi keenam akan diumumkan tidak lama lagi. Kerusi berkenaan dijangka Kota Laksamana.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/bersatu1asd2_414597.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.