Bagaimana CSA Madani-Bersatu memberi keuntungan kepada Anwar?
Kerajaan Madani dan 13 lagi ahli parlimen semalam menandatangani perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) sekali gus mencatat sejarah kali kedua ia dimeterai di peringkat persekutuan.
Apa sebenarnya isi kandungan perjanjian tersebut dan bagaimana ia memberi keuntungan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim?
Siapa yang menandatangani CSA?
CSA yang dimeterai itu melibatkan Putrajaya dan enam ahli parlimen Bersatu yang sehaluan dengan presiden parti itu, Muhyiddin Yassin. Tiga belas lagi ahli parlimen Bersatu yang digantung keahlian tidak terlibat dalam perjanjian tersebut.
Enam ahli parlimen lain yang menurunkan tanda tangan lain ialah bekas ahli parlimen Bersatu yang sudah menyatakan sokongan kepada Anwar sejak akhir tahun 2023.
Turut menandatangani CSA tersebut ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Apakah syarat-syarat dalam CSA?
Perjanjian itu menetapkan komitmen kerajaan untuk membentangkan dua pindaan perlembagaan. Pertama berkaitan had tempoh jawatan perdana menteri, dan kedua, memisahkan peranan peguam negara dengan pendakwa raya.
Sebagai balasan, ahli parlimen terbabit akan menerima peruntukan pembangunan kawasan (CDF) pada kadar yang sama dengan ahli parlimen penyokong kerajaan (backbenchers).
Mereka juga berkewajipan untuk menyokong pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal parlimen semasa serta menyokong Belanjawan 2027.
Bagaimana CSA mempengaruhi kedudukan kerusi Anwar di Parlimen?
Sebelum perjanjian itu dimeterai semalam, Anwar memiliki sokongan 149 ahli parlimen atau dua pertiga kerusi Dewan Rakyat. Jumlah minimum sokongan dua pertiga ialah 148 kerusi.
Jumlah itu sudah mengambil kira peletakan jawatan empat ahli parlimen PKR yang sehaluan dengan Rafizi Ramli serta enam bekas ahli parlimen Bersatu yang sememangnya sudah menyokong Anwar sebelum ini.
Dengan penyertaan kem Muhyiddin dan Syed Saddiq, jumlah sokongan untuk Anwar kini melonjak kepada 156 ahli parlimen.
Pakar sains politik Sunway University, Wong Chin Huat, menjelaskan itu memang matlamat utama sesuatu CSA. Ia memberi ruang selesa kepada Anwar untuk menampung sebarang ketidakhadiran ahli parlimen penyokong kerajaan sewaktu undian pindaan perlembagaan dijalankan.
Sebelum ini, percubaan kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri gagal dengan kekurangan dua undi disebabkan lapan ahli parlimen blok kerajaan tidak hadir.
Adakah Anwar masih memerlukan ahli parlimen Bersatu jika BN keluar dari kerajaan?
Tidak semestinya.
Mengikut keadaan semasa, walaupun tanpa CSA, Anwar masih mempunyai angka yang cukup untuk kekal bertahan sekiranya BN bertindak keluar kerajaan. Hal itu kerana BN hanya mempunyai 30 kerusi di Dewan Rakyat.
Jika BN menarik diri sekalipun, Anwar masih disokong oleh 126 ahli parlimen, iaitu 14 kerusi melebihi majoriti mudah.
Satu-satunya senario yang boleh melemahkan kerajaan ialah jika BN berjaya memujuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bersama-sama keluar dengan mereka.
GPS memegang 23 kerusi parlimen. Jika BN dan GPS menarik sokongan serentak daripada Putrajaya, kerusi Anwar akan merosot kepada 103 sahaja. Angka itu kurang lima kerusi daripada majoriti mudah. Ia juga akan membuka jalan kepada PRU mengejut.
/file/attachments/orphans/sss2_928546.jpeg)
Bagaimanapun, Wong berpandangan agak mustahil GPS akan mengambil langkah sedemikian.
"GPS tidak mahu PRU diawalkan, terutamanya kerana ia berkemungkinan mengembalikan kerajaan gabungan BN-PN yang mungkin tidak akan bertolak ukur dengan tuntutan Sabah dan Sarawak," katanya kepada Malaysiakini.
Adakah itu bermakna PH dan Bersatu akan bekerjasama secara politik di luar parlimen?
Tidak. Malah sejurus selepas CSA dimeterai, Bersatu mengumumkan bahawa mereka tetap akan bertembung dengan PH di empat kerusi semasa PRN Melaka bulan depan.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/sss_390483.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.