Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai rakyat Malaysia yang bekerja di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), majoriti daripada kami amat tidak berpuasa hati dengan prestasi Duta dan Konsul Am Malaysia yang bertugas sejak lebih tiga tahun lalu.

Kalau diukur dari sudut KPI, mereka boleh saja dianggap lemah dan tidak berkebolehan untuk melaksanakan tanggungjawab dan peranan sepatutnya. Kami juga menerima pandangan yang sama dari rakan-rakan tempatan dan ekspatriat negara lain.

Mungkin mereka menganggap tugas sebagai duta dan Konsul Am itu sebahagian daripada pakej bercuti. Atau sekadar pembawa beg setiap kali menteri, ahli perniagaan terkenal atau VIP lain berkunjung membeli belah di Dubai.

Ini berbeda dengan rakan setugas mereka dari Singapura misalnya, yang nampak dan ternyata berhasil dalam memberi wajah dan impak berbeda kepada negara tersebut. Mereka bukan sahaja aktif dalam komuniti Singapura (yang lebih ramai daripada komuniti Malaysia), malah dalam memberi peluang perniagaan kepada syarikat Singapura untuk menikmati kepesatan pembangunan UAE.

Ramai ahli perniagaan Malaysia yang pernah mengikuti pelbagai misi dagangan, terutama melalui Matrade, mendapati kelemahan Konsul Am yang sepatutnya lebih proaktif dan lebih profesional. Banyak ekspo yang disertai hanya sebagai melepaskan batuk di tangga dan tidak mendapat sambutan yang diharapkan. Malah dalam satu majlis networking, bukan sahaja Duta dan Konsul yang dijadualkan berucap tidak datang, malah kesemua staf Matrade hilang di majlis yang mereka sendiri kelolakan.

Lebih melucukan, Majis Perniagaan Malaysia yang ditubuhkan tiga tahun lalu telah mati berkubur tanpa pusara kerana polemik politik dalaman dan ketidakcekapan mereka yang dipilih oleh Duta sebagai penggeraknya. Malah, lebih memalukan, kegagalan pihak Duta untuk menggerakkan sebuah persatuan sosial komuniti Malaysia, juga atas sikap berpuak-puak dan sentimen politik beliau. Majlis-majlis rasmi juga hanya dijemput rakyat Malaysia yang tertentu, yakni kelompok yang sama.

Rekod terburuk ialah sejak empat tahun lalu juga, pavilion Malaysia hilang dari Global Village sempena Dubai Shopping Festival!

Dengan perubahan iklim dan suasana perdagangan, Malaysia mesti menghantar Duta dan Konsul Am (yang bertindak sebagai Pesuruhjaya Perdagangan) yang professional, bukan sekadar diplomat biasa. UAE adalah salah satu kuasa ekonomi yang menjanjikan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta memerlukan diplomat yang berfikir sebagai ahli perniagaan.

Harapan kami rakyat Malaysia di sini kepada kerajaan, hantarlah Duta dan Konsul Am yang melebihi kriteria biasa. Tentunya ramai lagi yang berkelayakan dan mempunyai daya kerja yang hebat untuk menaikkan nama Malaysia di sini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS