Gabungan mahasiswa dan anak muda merancang himpunan antirasuah kali ketiga pada hujung bulan ini, sambil mendesak Putrajaya menggantung pelaksanaan tahanan rumah Najib Razak.

Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 3.0 mahu pelaksanaan itu digantung sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung cabaran terhadapnya.

Gabungan itu turut menuntut kerajaan menjelaskan asas undang-undang yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman kes SRC International di rumah.

Sekretariat berkenaan mengumumkan rancangan himpunan itu pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

Ia turut menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik bantahannya terhadap permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Sekretariat itu juga mahu kerajaan mendedahkan semua bahagian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September yang boleh disiarkan kepada umum, serta menjelaskan peranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menteri terbabit dan AGC dalam proses pengampunan itu.

Menurut laporan Malaysiakini mengenai minit berkenaan, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berpandangan tiada asas undang-undang untuk melaksanakan tahanan rumah.

Bagaimanapun, menurut minit itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dan menitahkan Yeoh menandatangani perintah berkenaan.

Malaysiakini pada 18 November melaporkan penyahklasifikasian minit itu bagi tujuan prosiding mahkamah.

Pengerusi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia Brendon Gan berkata kuasa pengampunan mesti dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak mempersoalkan budi bicara dan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Tetapi kita perlu faham bahawa raja tidak mengatasi undang-undang,” kata mahasiswa tahun keempat Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

“Kedudukan Yang di-Pertuan Agong tidak mengatasi kedudukan Perlembagaan. Negara ini merupakan negara demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan.”

‘Cuci tangan dan main retorik’

Gan turut menuduh pentadbiran Anwar cuba melepaskan tanggungjawab berhubung keputusan tahanan rumah itu.

“Hari ini kita dapat lihat dengan jelas bagaimana kerajaan Pakatan Harapan, kerajaan Madani, terutama Anwar Ibrahim serta rakan-rakan dan sekutu politiknya, cuba cuci tangan.

“Cuci tangan dan main retorik mengatakan bahawa mereka kecewa dengan pengampunan Najib, tahanan rumah,” katanya.

Gan merujuk kenyataan Anwar di Parlimen pada 10 Disember 2024 mengenai permohonan pengampunan terdahulu Najib, yang dibawanya ke mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023.

Anwar ketika itu turut memberitahu Parlimen dia mencadangkan Sultan Ibrahim merujuk isu titah adendum kepada lembaga berkenaan.

Menurut minit mesyuarat 18 Sept, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat dan menitahkan Yeoh menandatangani perintah berkenaan.

Malaysiakini melaporkan pada Rabu bahawa minit itu telah dinyahklasifikasikan bagi tujuan prosiding mahkamah.

Gan turut mempersoalkan kemungkinan keputusan tahanan rumah menjadi duluan bagi kes rasuah lain.

“Kalau pada masa depan ada lagi Najib 2.0, adakah dia juga akan diberikan tahanan rumah?” katanya.

Umno melunaskan bayaran denda RM50 juta Najib pada 6 November melalui kutipan Tabung Solidariti Najib Razak, sekali gus memenuhi syarat kewangan pengampunan bersyarat itu.

Pada 10 November, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC di rumah. Hukuman itu sebelum ini dikurangkan kepada enam tahun. Dia dibawa pulang pada hari sama.

Badan Peguam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 10 November. Badan itu turut memohon penggantungan pelaksanaan tahanan rumah sekiranya mahkamah membenarkan semakan kehakiman diteruskan.

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan.

Baginda mempengerusikan Lembaga Pengampunan, yang perlu mempertimbangkan apa-apa pendapat bertulis peguam negara sebelum mengemukakan nasihatnya.

Badan Peguam berhujah tahanan rumah tidak termasuk dalam ruang lingkup kuasa pengampunan di bawah Perkara 42. AGC pula berhujah keputusan diraja itu tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Mac 2027 untuk mendengar permohonan kebenaran itu.

Dalam kes 1MDB yang berasingan, Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober menolak permohonan Najib menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion sementara menunggu rayuan.

Hukuman penjara bagi kes itu dijadual bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman SRC, tertakluk kepada sebarang keputusan lanjut mahkamah.

Rakyat masih tanggung hutang 1MDB

Pada sidang media sama, aktivis mahasiswa Universiti Malaya Dayang Humaira Abas berkata rakyat masih menanggung kos skandal 1MDB.

“Kita beri contoh pembayaran hutang 1MDB yang mencecah bilion-bilion tetapi harus ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Dia berkata wang itu boleh disalurkan kepada institusi pendidikan tinggi dan digunakan untuk menjaga kebajikan mahasiswa.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan pada 28 Oktober berkata kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi hutang dan komitmen berkaitan 1MDB setakat 31 Ogos 2026.

Kerajaan turut melaporkan pemulihan dana dan aset RM31.3 bilion. Selepas mengambil kira jumlah itu serta baki komitmen RM8.9 bilion, kerajaan menganggarkan beban bersih RM20.1 bilion jika tiada pemulihan tambahan.

[Baca berita asal]