MCA mahu hak buat keputusan bersama, bukan cuma pemerhati dalam BN
MCA terbuka untuk membincangkan kerjasama pilihan raya antara BN dan PN parti itu mahu diberi suara setara dalam membuat keputusan, kata Chong Sin Woon.
Menurut setiausaha agungnya, MCA memahami bahawa kerjasama politik boleh dirundingkan, namun menegaskan “Prinsip politik tidak boleh dikompromi.”
Chong berkata MCA perlu menilai sama ada bakal rakan politiknya itu mampu menghormati kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia serta hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.
Tambah Chong, sebarang kerjasama mesti membolehkan MCA terus mewakili masyarakat Cina di samping menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia.
“MCA mesti ada kekuatan sendiri, suara sendiri, dan nilai politik sendiri.
“MCA mesti menjadi rakan, bukan sekadar pelengkap politik. Kita mesti turut membuat keputusan, bukan sekadar menjadi pemerhati,” katanya yang dipetik The Star Online ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita MCA di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam tiga PRN terbaru – melibatkan Johor, Negeri Sembilan dan Melaka – MCA menunjukkan kebangkitan semula selepas kalah teruk dalam dua PRU terakhir.
Dalam PRN itu MCA memenangi 12 daripada 26 kerusi yang ditandinginya.
Baca MCA ada jalan sendiri, tapi PAS jadikan PN bukan pilihan
Ia berlaku ketika Umno – yang menjadi parti terbesar dalam BN – menjalin hubungan kerjasama dengan PN – yang dikuasai PAS ketika ini.
Bentuk kerjasama itu pula berbeza mengikut negeri.
Di Johor, PAS menggesa penyokongnya mengundi BN di kerusi yang tidak ditandingi PN. Di Negeri Sembilan dan Melaka pula, BN dan PN membahagikan kerusi bagi mengelak pertembungan.
Pada PRN Johor Julai lalu, MCA bertanding di lapan kerusi berbanding enam sebelumnya. Daripada jumlah itu MCA merampas kerusi Jementah, Tangkak dan Johor Jaya daripada DAP serta memenangi Layang-Layang yang sebelum itu disandang Umno.
BN dan PN masih bertembung di beberapa kerusi. Di Jementah, MCA menewaskan penyandang daripada DAP dengan majoriti 913 undi dalam pertandingan tiga penjuru yang turut disertai PAS.
Asas Malaysia masyarakat majmuk
Di Negeri Sembilan, MCA kembali bertanding pada Ogos lalu selepas tidak meletakkan calon pada PRN 2023 susulan persetujuan antara BN dan PH. Kali ini, MCA memenangi dua daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.
Siow Kong Choon menewaskan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, di Chennah dengan majoriti 688 undi, manakala Koh Kim Swee merampas Repah daripada DAP dengan majoriti 444 undi.
BN memenangi 18 kerusi dan bergantung pada sokongan PN yang memenangi tujuh kerusi lain untuk membentuk kerajaan di DUN yang mempunyai 36 kerusi itu.
Analisis Malaysiakini terhadap keputusan mengikut daerah mengundi menunjukkan BN berkemungkinan meraih sebahagian besar undi yang sebelum ini memihak kepada PN di Chennah.
Pun begitu bahagian undi Loke meningkat daripada kira-kira 44 peratus pada PRU 2022 kepada hampir 47 peratus pada Ogos lalu, manakala Siow memperoleh 53.2 peratus.
Di Melaka, MCA pada mulanya hanya diperuntukkan dua kerusi iaitu yang memang disandangnya, Kelebang dan Machap Jaya.
/file/attachments/orphans/woon2_597229.jpeg)
BN kemudian memberikan Bandar Hilir kepada MCA selepas rundingan dengan PN.
Parti itu mendapat kerusi keempat apabila PN menyerahkan semula Kota Laksamana kepada BN.
MCA mempertahankan Kelebang dengan majoriti 7,035 undi, manakala Machap Jaya dengan majoriti 2,236 undi. Kedua-dua majoriti itu lebih besar berbanding pada 2021.
DAP pula mempertahankan Bandar Hilir dan Kota Laksamana.
Pada 15 Nov, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu tidak merancang untuk melanjutkan persefahaman dengan PN di peringkat negeri ke PRU ke-16 namun masih membuka ruang untuk rundingan.
Chong berkata perubahan landskap politik negara membuka ruang kepada parti yang dahulunya bersaing untuk membincangkan kerjasama.
“Malaysia dibina atas asas masyarakat majmuk.
“Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya ialah kekuatan kita, bukan kelemahan,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/woon_426321.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.