Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali hari ini berkata dia akan membawa cadangan ‘khemah besar’ yang dibangkitkan Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, kepada pimpinan tertinggi partinya.

Cadangan itu menggesa PH memperluas kerjasama dengan parti berteraskan Melayu, termasuk Bersatu, bagi meningkatkan sokongan segmen pengundi itu menjelang PRU ke-16.

Katanya Bersatu akan mendapatkan maklumat yang lebih terperinci sebelum diangkat kepada pimpinan parti untuk diperhalusi dan diambil ketetapan mengenai langkah-langkah yang perlu.

“Matlamat jajaran baru ini ialah untuk membuka peluang kepada rakyat membuat pilihan yang terbaik, menyasarkan prestasi, menyasarkan politik nilai, politik khidmat dan politik prihatin kepada rakyat.

“Saya yakin perkara ini akan dibincangkan dengan cukup teliti dan meletakkan kepentingan negara dan rakyat untuk masa depan yang lebih terjamin,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui pada Konvensyen Nasional Amanah di Shah Alam hari ini.

Azmin berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengarahkannya menerima jemputan Amanah untuk hadir di konvensyen berkenaan bersama Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham.

Untuk rekod Bersatu merupakan antara parti komponen PH menjelang PRU ke-14 lalu. Penyertaan parti tersebut  menyaksikan PH menumbangkan BN buat kali pertama dalam sejarah.

Bagaimanapun kerajaan PH tidak bertahan sehingga penggalknya tamat apabila ia memilih meninggalkan gabungan tersebut melalui peristiwa dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Sokong belanjawan walau tanpa CSA

Azmin sendiri ketika itu merupakan Timbalan Presiden PKR. Dia bersama penyokongnya kemudian menyertai Bersatu serta membentuk kerjasama dengan PAS melalui PN.

Namun Bersatu kemudian dimusuhi serta dipencilkan PN selepas gabungan itu dikuasai PAS.

Terdahulu Faiz membangkitkan cadangan itu ketika berucap pada Konvensyen Pemuda Amanah di Sepang semalam.

Katanya, prestasi kerajaan dalam ekonomi dan pentadbiran masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada sokongan pengundi.

“Dalam keadaan sekarang, kita perlu membuka khemah besar. Kita perlu merangkul parti-parti Melayu untuk memastikan sokongan orang Melayu kepada PH dapat ditingkatkan.

“Kita tidak boleh hanya bercakap mengenai agenda kita sendiri tetapi perlu melihat realiti politik dan bagaimana kita boleh membina kekuatan yang lebih besar untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” kata Faiz seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Faiz turut merujuk pengalaman PRU 2018 sebagai contoh bagaimana peranan Bersatu meraih sokongan pengundi Melayu.

Gesaan itu menyusuli kekalahan Amanah di kesemua tujuh kerusi yang ditandinginya pada PRN Melaka 14 Nov lalu, termasuk Bukit Katil, satu-satunya kerusi yang dimenangi parti itu pada PRN 2021.

Gambar fail.

Penyandangnya, Adly Zahari, tewas kepada calon PAS yang bertanding atas tiket PN, Ridzuan Sarif, dengan majoriti 6,607 undi.

Ditanya mengenai cadangan itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata pertemuan dan perbincangan antara pemimpin parti setakat ini berlangsung secara tidak formal dan belum ada keputusan dibuat.

Bersatu sudah meneroka kemungkinan bekerjasama dengan parti lain sejak sebelum PRN Melaka.

Pada Sept lalu Muhyiddin mengesahkan Bersatu sudah bertemu beberapa parti untuk membincangkan jajaran politik baru menjelang PRU ke-16.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengesahkan Bersatu menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH.

Sementara itu, Azmin, yang juga Ketua Pembangkang DUN Selangor berkata belum ada perkembangan baru dalam rundingan perjanjian kepercayaan dan pembekalan (CSA) di antara Bersatu dengan kerajaan negeri.

Katanya, tiada tempoh masa ditetapkan untuk memuktamadkan CSA itu walaupun pada pandangannya perjanjian itu sepatutnya dimeterai sebelum Belanjawan Selangor 2027 – berjumlah RM3.3 bilion – dibentangkan pada 13 Nov.

Adun Hulu Kelang itu berkata semua Adun Bersatu menyokong belanjawan berkenaan ketika pengundian semalam.

“Kita mahu saiz RM3.3 bilion itu diterjemahkan ke dalam tindakan yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat untuk menangani krisis banjir akibat perubahan cuaca.

“Itulah pendirian Bersatu yang tuntas, yang konsisten walaupun tanpa CSA, tetapi kepentingan rakyat negeri itu menjadi yang utama,” katanya.

Pada 16 Nov, Azmin berkata dia sudah mengemukakan cadangan CSA untuk diteliti Menteri Besar Amirudin Shari dan keputusan kini terletak pada kerajaan negeri.

Amirudin sebelum ini berkata jika persetujuan dicapai, 11 Adun Bersatu akan menyokong kerajaan negeri secara blok sambil kekal sebagai pembangkang.