Dua puluh empat daripada 25 Adun BN dan PN Negeri Sembilan mencapai kata sepakat untuk akur pada sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti, bagi menyelesaikan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.

Pengerusi BN Negeri Mohamad Hasan berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu perjumpaan khas yang berlangsung di Wisma Umno Negeri Sembilan, di Seremban malam tadi.

“Dalam perjumpaan khas ini semua Adun mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa jua arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti termasuk Adun PN.

“Ini bagi memastikan segala kemelut politik sedang melanda di negeri ini dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN mempengerusikan mesyuarat tersebut yang bermula 9 malam ini dan berlangsung lebih dua jam.

Mohamad berkata dua Adun BN, Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Razali Abu Samah (Sikamat) berada di luar negara namun turut menyatakan sokongan penuh atas apa jua keputusan malam tadi.

Adun Juasseh merangkap Menteri Besar Ismail Lasim bagaimanapun tidak hadir pada mesyuarat itu.

Semalam dalam sidang medianya, Ismail berkata Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah menitahkan dia untuk terus menjalankan tugas bagi memastikan kelangsungan dalam pentadbiran negeri.

Dia juga menjelaskan tidak menyerahkan mahupun mengizinkan penyerahan surat peletakan jawatan tersebut kepada Tuanku Muhriz, sambil menyatakan bahawa surat itu telah disimpan oleh kepimpinan Umno.

Susulan itu, Istana Negeri Sembilan menjelaskan bahawa mereka tidak meminta Ismail kekal sebagai menteri besar, sambil menegaskan bahawa dia mesti membuktikan sokongan majoriti yang berterusan di dalam DUN bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan perlembagaan.

Pengelola Bijaya Diraja Azizi Mohamad Ali berkata perkara itu memerlukan penyelesaian susulan majlis menghadap Ismail ke atas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pagi semalam.

Kontroversi mengenai kedudukan Ismail timbul pada 16 Nov apabila Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, dalam kenyataan di Facebook rasmi parti itu mengumumkan Ismail meletak jawatan.

Zambry berkata Pengerusi BN dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat peletakan jawatan yang didakwa dialamatkan dan dihantar kepada Tuanku Muhriz.

Pada 17 Nov pula, istana menjelaskan peletakan jawatan seseorang menteri besar hanya berkuat kuasa dengan perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan perlembagaan negeri.

- Bernama