Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tindakan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang , yang masing-masing mahu melarang penyebaran dakwah Islam hadhari, termasuk dilaporkan akan menarik balik tauliah imam-imam, sangat membimbangkan.

Selama bertahun-tahun, umat Islam yang memilih untuk mengikuti cabang-cabang Islam yang “berbeza” sering berhadapan dengan masalah undang-undang akibat perbezaan pegangan mereka dengan kehendak kerajaan.

Sebelum pilihanraya umum lalu, parti-parti yang memerintah Selangor dan Pulau Pinang hari ini telah berjanji mengembalikan kekuasaan rakyat.

Namun sayangnya hari ini, dapat dilihat kekuasaan yang mahu diberikan itu tidak pula meliputi ruang kebebasan untuk memilih ajaran agama yang disenangi masing-masing.

Ugutan untuk menarik tauliah oleh kerajaan Selangor – jika seseorang imam mempromosikan Islam hadhari – nampak senada dengan tindakan rejim Barisan Nasional sebelum ini yang juga melarang penyebaran ajaran tertentu dan turut mengharamkan buku dan filem.

Di Pulau Pinang, kerajaannya nampak lebih gemar bermain kata-kata dan berdolak-dalik dalam isu Islam hadhari. Tindakan ini juga sebenarnya tidak jauh berbeza dengan rejim yang menggunakan alasan tempoh permit penerbitan (oleh Kementerian Dalam Negeri) telah tamat dalam usaha menghentikan akhbar atau majalah tertentu.

Tindakan mundur dua kerajaan negeri Pakatan Rakyat ini nampak menakutkan kerana ia mungkin membawa diskriminasi dan pencabulan hak asasi yang lebih dahsyat kepada penganut-penganut Islam hadhari.

Walaupun pentadbiran agama Islam terletak bawah kuasa kerajaan, lebih baik negeri-negeri Pakatan Rakyat bersikap berkecuali apabila berhadapan dengan kepelbagaian aliran dalam Islam dan tidak bersikap condong kepada jenis-jenis ajaran tertentu.

Kepelbagaian dalam Islam ini seharusnya diraikan oleh kedua-dua kerajaan negeri ini, seperti juga parti-parti politik yang menerajuinya menerima pelbagai ragam pengundi yang menyokong mereka sewaktu pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Atas nama kebebasan, saya menggesa kerajaan Selangor dan Pulau Pinang memikirkan semula tindakan mereka itu

Atas nama kebebasan, seterusnya saya menggesa dua kerajaan itu mempertahankan dan melindungi hak penganut-penganut Islam hadhari untuk mengamalkan ajaran mereka selagi ia tidak mencabuli hak dan kebebasan orang lain.

ADS