Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

kemaskini 7.02pm Pemuda Umno sedang berusaha memujuk seorang juruteknik wanita - yang didakwa mempunyai hubungan sejenis dengan wartawan sebuah stesen penyiaran - pulang dari Sabah.

Pengerusi sekretariat pembelaan masyarakat pergerakan itu Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya akan berusaha membantu keluarganya, yang berasal dari Pahang, untuk membawa pulang wanita itu yang dikenali sebagai Nor Ashiah.

umno youth lesbian pc 110309 01 Juruteknik di sebuah jabatan kerajaan persekutuan sedang bertugas dalam projek pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi di Sabah sewaktu kakaknya cuba membawanya pulang ke Kuala Lumpur tahun lepas.

Abdul Azeez menambah, beliau sudah berhubung dengan jaringan anggota-anggota Umno di Sabah dalam rangka menjejaki Nor Ashiah - yang didakwa tinggal bersama pasangannya di Kota Kinabalu.

Beliau, yang mengetuai biro Putera Umno, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut usaha tersebut.

Biro itu sebelumnya pernah membantu memulihkan mat rempit.

"Kita akan mencari untuk membawanya pulang ke pangkuan keluarganya," kata Abdul Azeez (foto) dalam satu sidang media di pejabat sekretariat ini di Kuala Lumpur petang ini.

Aduan kakak

Beliau juga berkata gejala pengkid seumpama kes itu berlaku dengan serius di negara ini dan memohon kerajaan menggubal dasar untuk mengawalnya daripada berleluasa.

Beliau, yang juga exco Pemuda Umno berkata, pihaknya menerima 17 aduan berhubung isu pengkid.

"Kita tidak akan ambil tindakan melulu tanpa siasatan. Mereka memang perlu dibantu," kata Abdul Azeez yang pernah membawa pulang seorang remaja wanita yang berkahwin dengan rakyat Indonesia.

Sementara itu, kakak sulung wanita tersebut Maimon Zaleha Abdullah (foto, kanan) berkata, beliau memohon pertolongan Abdul Azeez setelah bermacam-macam usaha sebelum ini gagal untuk memujuk adiknya itu pulang ke sisi keluarga, termasuk membuat laporan polis.

Hadir di sidang media sama, kakak Nor Ashiah itu berkata, keluarganya telah membuat aduan berhubung perkembangan adiknya itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Bagaimanapun, kata Maimon Zaleha, sehingga ini tiada reaksi daripada polis.

Tambahnya, beliau mengalami hilang berat badan dan tidak boleh tidur malam kerana terlalu merindui adiknya itu dan memikirkan masalah tersebut sejak tahun lalu.

ADS