Tentera Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa pihaknya menyerang sebuah kapal kargo di Teluk Oman pada Khamis selepas kapal itu cuba melanggar sekatan tentera laut AS ke atas pelabuhan Iran meskipun telah diberi amaran berulang kali, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sebuah pesawat tentera AS melepaskan peluru berpandu tepat ke arah buritan kapal kargo pukal Pacific Archer yang berdaftar di Palau, menyebabkan sistem pendorongnya tidak berfungsi, menurut Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) pada Jumaat, sambil menambah bahawa kru awam kapal itu tidak mengalami kecederaan.

Kapal itu berlepas dari pelabuhan Bandar Abbas di Iran, menurut CENTCOM.

AS melaksanakan semula sekatan terhadap kapal yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran selepas perjanjian rangka kerja dengan Iran gagal pada Julai. CENTCOM memaklumkan bahawa sejak itu, tentera AS telah melencongkan 158 kapal komersial dan melumpuhkan enam kapal yang enggan mematuhi arahan.

Sekatan itu merupakan langkah utama dalam usaha Presiden Donald Trump untuk mengenakan tekanan ekonomi terhadap Iran dan mendapatkan konsesi daripada Tehran. Rundingan antara kedua-dua negara masih belum mencapai kejayaan besar kira-kira sembilan bulan selepas perang bermula.

- Bernama DPA