Dr Khir kecam wakil PAS di lobi DUN

       

Wakil rakyat PAS Hulu Kelang mendakwa dikecam ketua pembangkang Selangor selepas mendedahkan isteri bekas menteri besar itu menggunakan aset sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Saari Sungib mendakwa, ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berhenti rehat tengah hari tadi, beliau nampak Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo "macam sedia menunggunya" di lobi bangunan dewan dalam keadaan serius.

Wakil rakyat Sungai Panjang didakwa berkata: "Kamu (Saari) serang isteri saya. Isteri saya tidak pernah memandu kereta."

Bercakap kepada media selepas sidang DUN petang ini, Saari berkata beliau kemudian menjawab:

"Saya tidak kata isteri awak pandu kereta, tetapi diberi pakai kereta itu. Lagipun saya tanya dalam bentuk (minta) menteri besar siasat."

Dalam persidangan DUN, beliau mendedahkan sebuah anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Sdn Bhd (KDEB) membeli kereta Range Rover bernilai RM500,000 untuk kegunaan kerjanya tetapi ia disalahgunakan untuk Zaharah Kechik, isteri Dr Mohamad Khir.

Sebagai menteri besar ketika itu, Dr Mohamad Khir juga dilantik pengerusi KDEB, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor.

Menjelas lanjut insiden mereka berdua itu, Saari berkata, wakil rakyat BN itu bagaimanapun tidak mengancam untuk membalas dendam.

Ketika kejadian juga, tambahnya, tiada wakil-wakil rakyat lain di tempat itu.

Dalam sidang media selepas sidang DUN, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, setiap wakil rakyat patut diberikan peluang menyuarakan pandanganya tanpa rasa takut dalam dewan terhadap sesuatu.

Tambahnya, bekas menteri itu juga patut diberikan peluang menjelaskan perkara yang sebenarnya seperti dibangkitkan.

"Ini ujian kematangan diri. Rakyat melihat sama ada sesuatu itu berlaku secara sopan dan tertib. Itulah juga yang Sultan Selangor mahukan," katanya.

Dr Mohamad Khir menjadi sasaran serangan politik daripada wakil-wakil rakyat PKR dan PAS sejak semalam.

Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) pagi ini mendakwa sebuah syarikat agen pelancongan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Dr Mohamad Khir memonopoli khidmat perjalanan menteri besar, barisan exco kerajaan dan KDEB.

Azmin semalam membangkitkan beberapa isu, antaranya, pemberian jam mahal RM150,000 sewaktu Dr Mohamad Khir menjawat pengerusi anak syarikat kerajaan negeri PNSB, perbelanjaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) ke Disneyland di Tokyo dan Hong Kong, dan juga pembelian hartanah di Arab Saudi.

Malaysiakini
terkini untuk anda