Persatuan Malaysia Hindu Sangam (MHS) menyuarakan rasa kesal berhubung tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang berkasut ketika mengadakan lawatan ke Kuil Sri Maha Mariamman di Kuala Lumpur, sambil menegaskan bahawa menanggalkan kasut sebelum memasuki kuil Hindu adalah amalan asas keagamaan.

Thanga Ganesan, Presiden Persatuan Malaysia Hindu Sangam (MHS)

“Dalam tradisi Hindu, menanggalkan kasut sebelum memasuki kuil bukan sekadar formaliti budaya, sebaliknya amalan asas keagamaan yang berakar umbi daripada prinsip kesucian, kerendahan hati, penghormatan serta memuliakan kesucian rumah ibadat.

“Amalan ini dipatuhi di kuil-kuil Hindu di seluruh dunia, termasuk di negara yang bercuaca sejuk melampau, yang pemakaian stokin lazimnya dibenarkan,” kata Presiden MHS, Thanga Ganesan.

Anwar mengiringi Macron, yang dalam rangka lawatan dua hari ke Kuala Lumpur, dalam tinjauan mesra di kuil berkenaan yang turut dihadiri delegasi, pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara serta anggota keselamatan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh turut hadir.

Meskipun mengalu-alukan lawatan itu sebagai cerminan positif kepelbagaian agama, warisan pelbagai budaya serta semangat saling menerima di Malaysia, Thanga Ganesan berkata insiden berkenaan amat mengecewakan.

Viideo tular Anwar dan Presiden Perancis Macron di sebuah kuil Hindu di KL

“Namun, amat dikesali dan mengecewakan apabila hampir semua anggota delegasi pelawat, termasuk kedua-dua pemimpin terhormat itu, dilihat memakai kasut sepanjang berada di dalam kawasan kuil.

“Walaupun delegasi itu tidak memasuki ruang suci dan tempat sembahyang, perlu difahami bahawa kesucian kuil Hindu tidak terhad kepada ruang tersebut semata-mata. Kawasan melepasi Raja Gopuram (menara pintu masuk utama) merupakan sebahagian daripada kawasan suci kuil.

“Lokasi majlis penghormatan itu berlangsung merupakan kawasan yang secara tradisinya digunakan untuk perarakan dalaman dewa (Ull Veethi Ula), yang terletak bersebelahan dengan Homa Gundam yang suci,” katanya.

Thanga Ganesan turut membidas pengurusan kuil dan menyuarakan kekecewaan kerana pihak berkenaan selaku penjaga tradisi serta amalan agama kuil dilihat gagal memberikan taklimat sewajarnya kepada delegasi pelawat mengenai aspek asas adab Hindu tersebut.

“Sekiranya pertimbangan diplomatik, keselamatan atau faktor praktikal lain menghalang mereka daripada menanggalkan kasut, majlis sambutan dan penghormatan itu boleh sahaja diadakan di luar Raja Gopuram tanpa menjejaskan kesucian kuil atau kepentingan lawatan berkenaan.

“Insiden ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan penting sama ada rumah ibadat Hindu terus menerima tahap penghormatan dan sensitiviti agama yang sama seperti yang sewajarnya diterima oleh semua rumah ibadat,” katanya, sambil menegaskan bahawa sikap saling menghormati tidak boleh bersifat selektif.

Viideo tular Anwar dan Presiden Perancis Macron di sebuah kuil Hindu di KL

Dia menambah bahawa tanpa mengira jawatan, kedudukan, pengaruh atau kuasa seseorang, sesiapa sahaja yang memasuki rumah ibadat diharapkan mematuhi adat resam agama serta adab yang ditetapkan di ruang suci tersebut.

“Tiada jawatan politik, status diplomatik atau kedudukan berkuasa yang boleh meletakkan seseorang individu mengatasi amalan asas keagamaan sesebuah rumah ibadat.

“Malaysia Hindu Sangam ingin menegaskan bahawa teguran ini tidak bermaksud untuk memperkecilkan kepentingan lawatan tersebut mahupun mempersoalkan niat mana-mana pemimpin. Kebimbangan kami hanyalah terhadap pemeliharaan kesucian agama dan pematuhan amalan agama Hindu yang sedia terjalin,” katanya.

Sehunungan itu, MHS menggesa pihak berkuasa kerajaan berkaitan, pegawai protokol diplomatik, penganjur acara dan khususnya pihak pengurusan kuil agar memastikan protokol keagamaan dimaklumkan dengan jelas kepada tetamu kenamaan lebih awal dan dipatuhi untuk lawatan akan datang.

Thanga Ganesan berkata pengurusan kuil juga mesti menyedari bahawa meraikan tetamu kehormat dan memelihara kesucian kuil bukanlah tanggungjawab yang saling bercanggah.

Viideo tular Anwar dan Presiden Perancis Macron di sebuah kuil Hindu di KL

Kedua-duanya, tegasnya, boleh dan mesti dipertahankan tanpa mengorbankan salah satu daripadanya.

“Kekuatan Malaysia bukan sekadar terletak pada kepelbagaian agamanya, tetapi pada kesediaan rakyat dan pemimpinnya untuk menghormati serta mempertahankan amalan keagamaan setiap komuniti yang berbeza.

“Penghormatan sedemikian mesti dizahirkan melalui tindakan dan bukan sekadar kata-kata,” katanya.