Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyelar Adun BN kerana kegagalan hadir dan turut serta dalam perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula sejak seminggu lalu.

"Sebagai Adun, mereka mesti hadir dalam dewan untuk membahaskan perkara yang melibatkan kepentingan rakyat yang diwakili mereka.

"Disiplin ini mesti dipertingkatkan lagi," katanya dalam sidang media tengah hari ini selepas DUN Selangor ditangguhkan.

Ketika DUN bersidang kali terakhir hari ini, tidak sampai 10 Adun BN, termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak hadir dalam sesi pagi ini.

Abdul Khalid bagaimanapun berpuas hati dengan mutu perbahasan usul oleh Adun-adun Pakatan Rakyat yang disifatkannya "matang" dan bersedia dengan penyelidikan awal sebelum berbahas.

Mengulas strategi kerajaan negeri mengemukakan pakej rangsangan ekonomi negeri sebanyak RM50 juta - kurang RM10 juta sahaja daripada pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan persekutuan minggu lepas – beliau berkata, Selangor memerlukan geran dan dana kerajaan pusat bagi menjayakan pakej itu.

Katanya, perkara itu disebabkan pendapatan Selangor hanyalah RM1.5 bilion setahun dan tidak cukup bagi tujuan pakej itu.

Bagaimanapun, tambah beliau, kerajaan negeri juga mempunyai alternatif lain melalui inisiatif kewangan swasta melalui penswastaan projek-projek tertentu.

Persidangan DUN Selangor sebelum itu meluluskan usul menggesa kerajaan persekutuan memberikan kerjasama kepada Selangor dalam usaha mengatasi krisis ekonomi demi kepentingan rakyat.

Usul yang dicadangkan Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya) itu, antaranya, menggesa kerajaan memberikan peruntukan untuk pembinaan pusat kesihatan seperti hospital dan klinik kerajaan di Selangor, dan tambahan peruntukan untuk kawalan keselamatan di negeri itu.

Usul disokong oleh Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Khasim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya), Cheah Wing Yin (DAP-Damansara Utama) dan Lee Ying Ha (DAP-Teratai).

Dewan juga sebelumnya meluluskan usul mendesak kerajaan pusat supaya akur dan mengutamakan hak dan kepentingan rakyat Selangor dan Kuala Lumpur dalam rundingan pembelian pengurusan air daripada syarikat konsesi.

Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang membentangkan usul itu menyelar kerajaan pusat yang didakwa bersedia membeli syarikat konsesi air yang menanggung hutang bersih sebanyak RM6.4 bilion dengan harga antara RM9 bilion hingga RM13 bilion.

Tindakan itu disfatkannya sebagai usaha "menyelamatkan syarikat kroni".

Usul itu disokong oleh Cheah, Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) dan Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang).

Adun BN tidak terlibat membahaskan kedua-dua usul tersebut.

ADS