Jika pihak yang berkenaan teliti, kata Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, tidak berlaku sebarang kesilapan dalam dokumen yang dikeluarkan terkait dengan pertukaran tempat tahanan Najib Razak.

Kata Mohd Dusuki, isu tersebut tidak timbul jika pihak terbabit mengambil langkah yang patut termasuk meneliti setiap butiran dengan berhati-hati.

"Perkara ini tak patut berlaku jika pihak berkenaan teliti.

“Kesilapan ini adalah ketara dan menyebabkan timbul masalah yang tak sepatutnya," kata Mohd Dusuki seperti dipetik BH Online hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas perintah pelepasan (order of discharge) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkait perintah tahanan rumah Najib pada Jumaat lalu.

Najib – yang sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah – sepatutnya kembali ke rumahnya di Jalan Langgak Duta pada 6 Nov tetapi tidak kesampaian apabila perintah pelepasan itu menimbulkan keraguan.

Antara lain percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, serta beberapa butiran lain yang tidak sepatutnya, seperti pernyataan kesalahan denda yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri berkenaan.

Kerana butiran tersebut Jabatan Peguam Negara (AGC) menasihatkan agar ia diperjelaskan dan Najib kembali ditahan di Penjara Kajang sehingga ia diatasi.

Pada 7 Nov lalu, AGC menafikan penangguhan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri yang diputuskan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sebagai mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, kata AGC, langkah itu diambil bagi memastikan hak Najib terpelihara susulan keputusan mahkamah tinggi yang memerintahkan pembebasannya.