Pemuda PKR mahu proses penyediaan perintah pelepasan Najib disiasat
Proses penyediaan perintah pelepasan (order of discharge) untuk Najib Razak wajar diteliti bagi memastikan kandungannya selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pemuda PKR (AMK) berkata mereka memandang serius kekeliruan berhubung pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Sultan Ibrahim terhadap bekas perdana menteri itu.
Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam AMK Malaysia, Khairul Naim Rafidi, berkata dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan mengingkari titah Agong tidak wajar dibuat tanpa meneliti terlebih dahulu persoalan undang-undang yang berbangkit.
Menurutnya, tindakan AGC mendapatkan penjelasan mengenai tafsiran dan pelaksanaan perintah berkenaan tidak dengan sendirinya bermaksud berlaku keingkaran terhadap titah Sultan Ibrahim.
Malah, katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengarahkan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, menghadap Agong bagi menjelaskan kedudukan undang-undang berhubung perkara itu.
"Titah Yang di-Pertuan Agong mesti dijunjung, dan setiap tindakan kerajaan serta institusi perundangan hendaklah berlandaskan perlembagaan.
"Persoalan tafsiran mesti diselesaikan melalui saluran yang sah, bukan melalui tuduhan yang belum dibuktikan," katanya semalam.
Isu berkenaan timbul selepas Najib membayar denda RM50 juta pada 6 Nov lalu, sekali gus memenuhi syarat pengampunan yang diberikan Sultan Ibrahim pada 18 Sept lalu.
Perlu ketelitian, tanggungjawab semua
Pengampunan itu membolehkan Najib – yang sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah atas dua kes berbeza – menjalani baki hukuman penjaranya di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun untuk rekod pemenjaraan Najib, 73, ketika ini adalah atas sabitan tujuh pertuduhan melibatkan jenayah terkait dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Dia juga sudah disabitkan bersalah pada 26 Dis tahun lalu atas 25 pertuduhan melibatkan kes 1MDB – Tanore dan dihukum penjara 15 tahun dan denda keseluruhan RM11.38 bilion. Bagaimanapun pelaksanaan hukuman berkenaan ditangguhkan kerana Najib mengemukakan rayuan.
Selepas pembayaran RM50 juta dibuat pada 6 Nov lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda (Order of Discharge on Payment of Fine) kepada Jabatan Penjara Malaysia.
Ia mengandungi arahan supaya Najib dibebaskan serta-merta, dengan baki hukumannya dijalani menerusi tahanan rumah.
Bagaimanapun, AGC pada hari sama memohon pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan sementara bagi membolehkan tafsiran perintah pengampunan dan kesan undang-undang perintah pelepasan tersebut diteliti.
/file/attachments/orphans/najibrazak1_740838.png)
AGC membangkitkan persoalan sama ada pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen denda, manakala baki hukuman penjara masih berjalan sehingga Ogos 2028, atau pembayaran itu menyebabkan keseluruhan hukuman dalam kes SRC International dianggap selesai.
Perbezaan tafsiran itu turut memberi kesan kepada pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun yang dikenakan terhadap Najib dalam kes 1MDB - Tanore, yang menurut perintah mahkamah perlu bermula selepas hukuman kes SRC International selesai.
Kata Khairul Naim, kuasa pengampunan yang ada pada Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memang wajib dihormati.
Pada masa sama, dia menegaskan, persoalan tafsiran mesti diselesaikan melalui saluran yang sah, bukan melalui tuduhan yang belum dibuktikan.
“Kedaulatan undang-undang menuntut ketelitian, keadilan dan tanggungjawab daripada semua pihak,” katanya.
Dia juga memaklumkan AMK akan menggerakkan laporan polis bagi menggesa siasatan dibuat terhadap kemungkinan wujud sebarang isu dalam proses berkenaan.
“Tujuannya ialah untuk mengenal pasti punca kekeliruan dan memastikan sebarang salah laku, jika terbukti, ditangani menurut undang-undang,” katanya.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/09/a8c0fe7f25f53fd402b51dd3fc39cce4.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.