A Kadir Jasin menggesa pihak berkuasa menyiasat jejak wang (money trail) RM50 juta yang digunakan untuk membayar denda bekas perdana menteri Najib Razak bagi memastikan sumber dana itu dikenal pasti.

Menurut bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu, siasatan wajar dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia.

Katanya, siasatan itu perlu dijalankan tanpa mengira sama ada pembayaran denda berkenaan dibuat oleh Umno atau pihak lain.

“Pihak-pihak berkuasa seperti SPRM, PDRM, LHDN dan Bank Negara Malaysia (BNM) wajar menyiasat bagi memastikan jejak wang (money trail) RM50 juta itu,” katanya dalam tulisan terbarunya di media sosial hari ini.

Kadir turut membangkitkan kemungkinan dana berkenaan datang daripada pihak yang pernah mendapat kontrak dan konsesi bernilai berbilion ringgit daripada kerajaan ketika pentadbiran Najib.

Dalam tulisannya itu juga, Kadir menyenaraikan beberapa projek mega yang dilaksanakan ketika Najib menjadi perdana menteri, termasuk Bandar Malaysia, MRT, LRT, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara 118.

Tokoh Wartawan Negara 2011 itu turut turut menyebut projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP), yang menurutnya hanya 13 peratus siap walaupun 88 peratus daripada harganya sudah dibayar.

“Boleh jadi ada tauke-tauke yang mendapat habuan daripada projek-projek ini yang berasa terhutang budi (kepada Najib).

“Walaupun sebahagian projek-projek ini berjalan lancar, namun unsur rasuah tetap tidak boleh ditolak bulat-bulat,” katanya lagi.

Najib – yang sudah disabitkan bersalah atas 32 pertuduhan – sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Hukuman itu adalah terkait dengan tujuh pertuduhan melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd. Dia juga didenda RM210 juta. Bagaimanapun anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu mendapat keringanan daripada Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Hukuman penjaranya diturunkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda pula hanya RM50 juta.

Bagaimanapun Najib juga sudah disabitkan bersalah atas 25 pertuduhan lain (empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram) dalam kes 1MDB – Tanor.

Dia dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion.

Namun pelaksanaan hukuman bagi kes kedua itu belum berjalan kerana masih dalam proses rayuan mahkamah.

Najib, 73, sedang dibawa untuk pulang ke Jalan Langgak Duta di Kuala Lumpur pada 6 Nov lalu selepas memenuhi syarat ditetapkan Agong bagi membolehkan dia menghabiskan tempoh penjara di rumah, iaitu membayar denda RM50 juta.

Bagaimanapun Najib dibawa semula ke Panjara Kajang ekoran pertikaian terkait tafsiran serta kandungan notis “pelepasan” yang dikeluarkan mahkamah pada hari tersebut.

Untuk rekod Kadir bukanlah orang pertama yang mendesak agar siasatan dibuat ke atas dana yang digunakan untuk membayar denda RM50 juta Najib itu.

Hujung minggu lalu bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, turut menggesa siasatan dibuat oleh BNM dan SPRM bagi meneliti dan mengaudit wang RM50 juta berkenaan.

Hujah Pua: semua wang tersebut perlu dipastikan dikumpul secara sah dan bukannya hasil daripada pengubahan wang haram.

Dia juga mengkritik Umno kerana lebih menumpukan wang untuk membawa Najib menghabiskan tempoh penjara di rumah berbanding memanfaatkan ia bagi membantu rakyat biasa.