Ais glasier cair sebanyak lima kolam Olimpik sesaat - PBB
Jumlah ais yang hilang pada 2025 cukup untuk mengisi lima kolam renang bersaiz Olimpik setiap saat sepanjang tahun itu, menurut laporan terbaru Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO).
Agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi cuaca, iklim dan hidrologi itu menganggarkan glasier di seluruh dunia kehilangan lebih 400 bilion tan ais pada 2025. Rekod global kehilangan jisim glasier bermula pada 1975.
WMO juga mengingatkan paras laut mencecah tahap tertinggi pernah direkodkan serta suhu permukaan laut mencatat rekod bulanan terpanas pada 2026.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres memberi amaran dunia sudah memasuki era baru cuaca ekstrem, dengan kesan paling buruk menimpa golongan yang paling sedikit menyumbang kepada krisis iklim.
"El Niño yang luar biasa kuat kini bertembung dengan bumi yang sudah terlampau panas akibat perubahan iklim yang berpunca daripada kegiatan manusia. Rekod iklim terus dipecahkan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/03/e780d6bc7cc603212b857aa3feaf0889.jpg)
"Beban yang ditanggung manusia semakin berat. Mereka yang paling sedikit menyumbang kepada krisis ini menanggung kesannya paling awal dan paling teruk.
"Pemimpin mesti bertindak serius dengan mempercepat pengurangan pelepasan dan peralihan yang adil daripada bahan api fosil, serta menyediakan pembiayaan dan perlindungan yang diperlukan oleh negara yang mudah terjejas,” katanya melalui kenyataan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) pada 9 Nov yang mengiringi laporan iklim terbarunya itu.
WMO membentangkan perkembangan suhu dunia pada hari pertama sidang iklim PBB, COP31 di Antalya, Turkiye, semalam.
Tahun 2026 meneruskan rentetan panjang suhu global yang luar biasa tinggi, pencairan ais dan kenaikan paras laut, menurut WMO.
/file/1163/0a0db4f5d56ba9ebd817b674ed8b07db.jpeg)
Laporan iklim WMO turut mengetengahkan risiko susulan terhadap alam sekitar, ekonomi dan kehidupan seharian.
WMO menjangka 2026 tersenarai antara empat tahun terpanas dalam rekod pemerhatian suhu global sejak 1850. Bagi Januari hingga September 2026, suhu purata permukaan Bumi melebihi purata praindustri sebanyak 1.47°C.
Bagi Januari hingga September 2026, suhu purata permukaan Bumi melebihi purata praindustri 1850–1900 sebanyak 1.47°C, dengan ketidakpastian ±0.13°C. 2024 masih memegang rekod tahunan pada 1.55°C di atas purata praindustri. Kedudukan akhir 2026 bergantung pada data setahun penuh
WMO memberi amaran El Niño boleh menjejaskan hasil tanaman, terutama di kawasan yang bergantung pada hujan untuk bercucuk tanam.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/3d6b0ec3f48948a47392715cd9f1c954.jpg)
Setiausaha Agung WMO Celeste Saulo pula berkata fenomena El Niño meningkatkan risiko gelombang haba, kemarau dan hujan lebat hingga 2027.
“Kita sedang menjadikan cuaca semakin ekstrem dan El Niño akan melipatgandakan risikonya. Gelombang haba, siklon tropika dan ribut hujan bertambah kuat lebih pantas daripada yang kita jangkakan berdasarkan rekod lampau.
"Tahun ini, ratusan juta orang terdedah kepada bahang melampau yang tidak tertanggung, manakala runtuhan ais dan batu serta banjir kilat yang dahsyat di Nepal memperlihatkan risiko bertindih yang dihadapi masyarakat di kawasan pergunungan tinggi yang rapuh dan semakin panas.”
Di India, kira-kira 146.5 juta orang terdedah kepada suhu ekstrem ketika gelombang haba melanda pada April. Di Nepal, runtuhan glasier di Himalaya pada akhir Ogos mencetuskan banjir kilat yang meragut lebih 1,300 nyawa.
Anggaran awal yang dipetik WMO menunjukkan jumlah kematian di Eropah sepanjang musim panas melebihi jangkaan sebanyak 30,000. Dalam tempoh itu, gelombang haba, kemarau dan kebakaran hutan melanda beberapa negara di benua berkenaan.
Sementara itu, kajian yang dilaporkan The Guardian menganggarkan haba meragut kira-kira 50,000 nyawa di 854 bandar Eropah dari Jun hingga Ogos 2026, angka tertinggi sejak 2000 dalam kajian itu. Penyelidik mengaitkan 65 peratus daripada kematian itu dengan perubahan iklim akibat kegiatan manusia, dengan kadar kematian tertinggi di Malta, Itali dan Hungary.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/c7c9af3d56ac0632c79c88a20f05427f.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.