Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dicalonkan sebagai presiden bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana ketegasannya mempertahankan dasar parti itu, kata PAS Bukit Bintang.

photo of a younger nik aziz Kawasan buat pertama kali mencipta kegemparan dalam parti apabila mencalonkan mursyidul am itu untuk mencabar Abdul Hadi - dua tokoh teratas PAS ini beberapa kali pernah bergeser secara terbuka dalam isu muzakarah dengan Umno dan kerajaan campuran dengan BN.

Yang dipertua baru PAS Bukit Bintang, Radhi Hashim berkata, keputusan mencalonkan menteri besar Kelantan disebabkan kerana ketegasan menteri besar itu memimpin parti.

"(Kerana) ketegasan beliau dalam apa jua tindakan kerja beliau tanpa mengurangkan (kewibawaan) pemimpin lain," katanya, apabila diminta mengulas motif kawasan tersebut menamakan Nik Aziz.

"Dapat ketua baru, dapat semangat baru," tambah Radhi kepada Malaysiakini .

Keputusan tersebut dicapai sebulat suara oleh 12 anggota jawatankuasa kerja kawasan itu yang baru dilantik dalam mesyuarat agung, Ahad lepas di Markas Tarbiyah PAS Taman Melewar, Gombak.

Mesyuarat pertama jawatankuasa itu sejurus selepas mesyuarat agung, katanya.

Ditanya masalah kesihatan yang sering mengganggu Nik Aziz, Radhi berkata ia "memang dalam pengetahuan kita tetapi kita nampak beliau bekerja, (kita) rasa semakin bersemangat."

Mesyuarat jawatankuasa kawasan itu juga sebulat suara mencalonkan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu untuk bertanding jawatan timbalan presiden, mencabar Nasharuddin Mat Isa.

Manakala bagi jawatan naib presiden pula, Bukit Bintang mencalonkan dua tokoh baru, Datuk Nik Amar Nik Abdullah dan Hanipa Maidin.

Kedua-dua pemimpin tersebut, adalah ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Datuk Husam Musa dicalon untuk mengekalkan jawatan naib presiden.

Sementara itu, PAS kawasan-kawasan Batu dan Selayang yang mengadakan mesyuarat agung minggu lalu mencalonkan Abdul Hadi untuk mengekalkan jawatannya.

Manakala bagi jawatan timbalan presiden, Batu inginn mengekalkan Nasharuddin.

Selayang pula menamakan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din untuk jawatan tersebut.

Kawasan itu sebaliknya meletakkan Nasharuddin untuk jawatan naib presiden.

Kedua-dua kawasan itu mencalonkan Husam dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, ahli parlimen Bukit Gantang, untuk jawatan naib presiden.

Batu menamakan Mohamad untuk mempertahankan jawatannya sekarang.

ADS