Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seminar ulama didakwa medan 'basuh minda' pro-muqabalah

Seminar kepimpinan ulama PAS telah mencetuskan desas-desus bahawa ia bakal menjadi medan "pembasuhan minda" bagi memenangkan calon aliran tertentu.

Program sehari pada 23 Mei ini - kurang dua minggu sebelum tarikh pemilihan jawatan tertinggi parti itu - berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS di Gombak.

Beberapa pihak dalam PAS mendakwa program itu bakal dipergunakan oleh kumpulan pro-muqabalah dengan Umno untuk menaikkan calon-calon mereka yang menghadapi asakan sengit "kumpulan Erdogan" - yang cenderung kepada idea mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Pembentang kertas kerja di seminar itu pula didakwa hanya melibatkan tokoh-tokoh utama beraliran pro-muqabalah seperti bekas ketua ulama PAS, Datuk Harun Taib dan bekas timbalan presiden, Hassan Shukri.

Nama-nama pembentang lain termasuklah Timbalan Mursydul Am PAS Datuk Haron Din, Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali, dan bekas timbalan ketua Pemuda PAS Idris Ahmad.

Malah, timbul tanda tanya apabila ketua dewan itu sendiri Datuk Mohamed Daud - yang dilihat lebih rapat dengan Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat - didakwa tidak terlibat membentangkan sebarang kertas.

Menteri besar itu kelihatan sering bergeser dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang menyampaikan ucapan penutup di seminar Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama PAS.

Nik Aziz sendiri hanya berucap di ceramah pada sebelah malam - selepas program tersebut - di tempat yang sama.

Berdasarkan surat jemputan bertarikh 16 April lalu, ketua Dewan Ulama itu hanya disenaraikan untuk membaca doa di akhir seminar tersebut.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Hashim Jasin, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa seminar itu bakal dijadikan medan "pembasuhan minda" agar menyokong calon pro-muqabalah.

Menurutnya, dakwaan sedemikian hanya cakap-cakap di blog dan tidak menggambarkan situasi sebenar.

"Orang boleh buat pelbagai kenyataan, tetapi hakikat sebenarnya, seminar ini lama sudah (ditetapkan), bukan kerana hendak undi (perwakilan).

"Sudah lama dah (program ini) sepatutnya diadakan," katanya, sambil menyifatkan penetapan tarikh itu cuma "kebetulan".

"Idea ini sempena (ulang tahun) 25 tahun (kepimpinan ulama), walaupun sekarang sudah 27 (tahun), tetapi kira (sambutan) jubli perak jugalah. Biasalah, bukan kesemua perkara mesti dibuat pada tarikhnya. (Perkara) ini biasalah mana-mana pun."

Menurut Hashim, bagi memfokuskan kepada pilihanraya umum dan beberapa pilihanraya kecil, program kerjasama tiga sayap penting PAS - Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat - terpaksa ditangguhkan sebelum ini.

Ditanya sama ada program itu diadakan bagi tujuan berkempen jawatan tertinggi dalam parti, pesuruhjaya PAS Perlis itu menjawab:

"Itu orang hendak cakap, kita tidak boleh halang. Tetapi yang sebenarnya, yang saya hendak kata, walau panas macam mana pun pergolakan yang berlaku ini, apabila keputusan dibuat, kita tidak ada apa-apa (masalah)."

Walaupun kehadiran di program diwajibkan, Hashim berkata, pemimpin PAS yang terlibat mengiringi calon PKR Mansor Othman dalam pilihanraya kecil DUN Penanti di Pulau Pinang boleh diberikan pelepasan.

Mereka termasuklah Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar yang terlibat dengan perarakan penamaan calon.

Hashim juga menafikan bahawa ketua Dewan Ulama tidak terlibat membuat sebarang pembentangan.

"Ada, dia ada (membuat perbentangan)," katanya ringkas.

ADS