Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, menepis tanggapan yang mendakwa dia kecewa kerana tidak dilantik sebagai menteri besar di sebalik kemelut yang melatari negeri itu.

Ditanya mengenai perkembangan semasa, Jalaluddin menyifatkan dakwaan dia kecewa apabila Ismail Lasim kekal sebagai menteri besar adalah sekadar propaganda pengkritik dan kumpulan ceplos, iaitu gelaran yang merujuk kepada laskar siber.

"Saudari (wartawan) tengok saya okay, saya tidak mempunyai […] sebarang rasa kekecewaan dan sebagainya.

"Tinggal lagi ceplos dan sebagainya (yang menimbulkan isu) itu merupakan tanggungjawab mereka.

“Kalau tak (buat begitu) mereka tak ada kerja lagi," katanya kepada pemberita selepas selesai majlis mengangkat sumpah exco Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Ismail yang juga Adun Juasseh kekal sebagai menteri besar dan enam Adun BN dan PN dilantik sebagai exco baru negeri tersebut.

Sebelum ini nama Jalaluddin disebut-sebut bakal diangkat sebagai calon menteri besar jika BN dan PN mendapat majoriti dalam PRN yang berlangsung pada 1 Ogos lalu.

PRN berkenaan diadakan selepas penyandang jawatan menteri besar sebelum ini, Aminuddin Harun, membubarkan DUN ekoran kemelut yang melanda negeri tersebut, membabitkan sokongan BN kepada PH dan isu pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sewaktu kempen BN meyakinkan pengundi bahawa mereka mempunyai cara untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

Jalaluddin hadir di majlis angkat sumpah jawatan enam Adun sebagai exco baru Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, pula mengumumkan Jalaluddin – yang juga Ahli Parlimen Jelebu – sebagai calon utama menteri besar jika BN menang.

Apabila BN dan PN menguasai majoriti Ahmad Zahid mengemukakan tiga nama kepada Istana Negeri Sembilan termasuk Jalaluddin untuk dipertimbangkan sebagai menteri besar.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kemudian memperkenankan Ismail sebagai menteri besar yang baru.

Bagaimanapun kemelut di negeri itu berlarutan termasuk menyaksikan cubaan mengetepikan Tuanku Muhriz daripada takhta.

Mengulas lanjut kata Jalaluddin berkata, apa yang penting sekarang ialah krisis yang melanda Negeri Sembilan telah berakhir dan tumpuan kini ialah membela kesejahteraan rakyat.

Persoalan siapa yang dilantik sebagai menteri besar, katanya, itu adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar dan Pengerusi BN.

Terdahulu hari ini, enam Adun mengangkat sumpah sebagai exco yang baru di hadapan Tuanku Muhriz.

Mereka ialah Suhaimi Aini (Kota), Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Ridzuan Ahmad (Gemas), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling) dan Koh Kim Swee (Repah).