Dua penyampai radio FlyFM yang mencetuskan kontroversi berhubung hantaran media sosial memaparkan mereka menunaikan solat untuk pasukan bola sepak Manchester United yang sedang bergelut di Liga Perdana Inggeris, mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka atas tindakan mereka.

Penyampai radio berkenaan, Ean Nasrun dan Adam Raqeem, hari ini menzahirkan kekesalan atas insiden itu dan mengakui "kesilapan" mereka menggunakan agama untuk kandungan dalam talian - langkah yang sebelum ini mengundang kemarahan pemimpin kerajaan dan pelbagai pihak lain.

Dalam klip Instagram permohonan maaf, mereka secara ke udara bersama Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran, Ean berkata dia dan Adam "tidak cuba lari daripada tanggungjawab" dan akan menerima sebarang keputusan yang ditentukan pihak atasan terhadap mereka.

"Perkara ini tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada kandungan kami, seperti yang saya katakan, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kerana tampil dan menegur kami atas perkara itu," tambah Ean, merujuk kepada warganet yang mengecam hantaran yang dipertikaikan itu kerana dianggap mempermainkan Islam.

Adam seterusnya mengakui video berkenaan bukan contoh terbaik tentang bagaimana penyampai radio FlyFM sepatutnya memanfaatkan platform yang disediakan untuk menghiburkan peminat mereka, sambil berkongsi bahawa ibunya juga menghubunginya bagi meluahkan teguran atas video tersebut.

Mengulas permohonan maaf penyampai radio itu, Nazri berkata walaupun mereka sudah mengaku salah mengenai perkara itu, dia mengingatkan bahawa hantaran sedemikian tidak wajar diterbitkan kerana pasukan FlyFM "sepatutnya lebih peka".

"Solat ialah ibadah - jangan gunakan perkara ini sebagai sebahagian daripada kandungan... saya harapkan yang lebih baik daripada kamu," tambah Nazri, sambil menggesa kedua-dua mereka memberi tumpuan kepada tugas mereka dan "mengetepikan perkara sensitif".

Semalam, pengguna media sosial mengecam video kontroversi bertajuk 'Praying for Man United', yang dipercayai dimuat naik di laman Instagram FlyFM dan kelihatan sudah dipadamkan.

Ada yang menuduh penyampai radio itu mempersendakan solat dengan menjadikan ibadah agama itu sebagai bahan jenaka atau alat prop untuk lawak mereka, dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan turut menegur mereka yang terbabit dalam lakonan tersebut.

Dalam satu kenyataan, Zulkifli menekankan bahawa sebagai rukun Islam, solat ialah simbol suci bagi umat Islam dan tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka, hiburan murah atau unsur parodi dalam mana-mana bentuk siaran.

Dia menambah bahawa dalam memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di negara ini, semua pengamal media dan pencipta kandungan perlu peka terhadap sensitiviti agama serta mematuhi garis panduan penyiaran yang ditetapkan.

Kebebasan bersuara dan kreativiti, tegasnya, tidak boleh mewajarkan tindakan mempersendakan ritual ibadah yang boleh mencetuskan kemarahan dan mengancam ketenteraman awam.

Beberapa individudalam talian menegaskan insiden itu mempunyai persamaan dengan kes berasingan tahun lalu apabila penyampai radio Era FM dituduh mempersendakan upacara keagamaan Hindu.

Susulan kecaman meluas, syarikat induk Era FM dikenakan denda RM250,000 manakala penyampai yang terbabit pergi ke kuil Hindu Batu Caves untuk mengeluarkan permohonan maaf mereka.