Tokoh akademik, ahli sains politik dan aktivis sosial terkenal Malaysia, Chandra Muzaffar, meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun.

Pemergiannya disahkan oleh Majlis Pimpinan PKR, lapor The Star.

Chandra pernah menjadi Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) – yang kini dikenali sebagai PKR – sejak parti itu ditubuhkan pada 1999 susulan pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Dia bagaimanapun melepaskan jawatan itu pada 2001 sambil memberi jaminan akan terus menyuarakan pandangan mengenai isu-isu penting dalam negara dari semasa ke semasa.

Satu-satunya penglibatan Chandra dalam politik pilihan raya ialah pada 1999 apabila dia bertanding di kerusi parlimen Bandar Tun Razak dalam PRU tahun itu.

Walaupun memperoleh 21,049 undi, Chandra tewas kepada calon BN, Tan Chai Ho, yang menang dengan majoriti tipis sebanyak 1,224 undi.

Selepas meninggalkan barisan kepimpinan Keadilan, Chandra terus lantang menyuarakan pandangan mengenai isu tadbir urus, hak asasi manusia dan hubungan antara kaum.

Pada 2009, dia dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

Dia yang juga Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia yang Adil (JUST), terkenal dengan penglibatannya dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat antarabangsa dan tempatan.

Sebelum menerajui JUST, Chandra mengasaskan kumpulan reformasi sosial Aliran Kesedaran Negara (Aliran) pada 1977.

Antara sumbangan besarnya kepada negara termasuk berkhidmat sebagai pensyarah sains politik di Universiti Sains Malaysia dari 1970 hingga 1983.

Dia turut membantu menubuhkan Pusat Dialog Peradaban di Universiti Malaya pada 1997 dan dilantik sebagai pengarah pengasas pusat itu.

Selain menghasilkan puluhan buku mengenai keadilan sejagat, hak asasi manusia dan dialog peradaban, Chandra turut aktif dalam kerja advokasi sosial serta kebajikan masyarakat menerusi NGO.