Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kesemua ADUN BN dan ketua Umno bahagian di Terengganu - termasuk Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said - akan bersemuka dalam satu perjumpaan yang sedang diatur oleh pengerusi Umno negeri itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sehari dua lagi, bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

"Saya sedang menetapkan masa dan tempat untuk mengadakan perjumpaan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya petang ini.

Hishammuddin yang juga menteri dalam negeri berkata, beliau akan melaporkan hasil pertemuan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, beliau juga telah mengadakan perjumpaan dengan bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan menteri besar sekarang, Datuk Ahmad Said berhubung isu tersebut.

Menurutnya, kedua-dua mereka juga bersetuju untuk menghadiri perjumpaan itu nanti.

Hishammuddin juga mengesahkan bahawa beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung isu tersebut.

Usaha atasi konflik

"Saya juga telah mendapatkan pandangan daripada perdana menteri dan timbalan perdana menteri. Saya juga telah berjumpa dengan (bekas menteri besar) Datuk Seri Idris dan Datuk Ahmad," katanya.

Hishammuddin berkata beliau mahu mengadakan pertemuan dengan ADUN BN dan kesemua ketua Umno bahagian "kerana saya ingin tahu apakah masalah yang berlaku di Terengganu".

"Saya selaku pengerusi Umno Terengganu akan memikirkan kaedah yang sesuai untuk mengatasi konflik politik di Terengganu.

"Saya percaya, jika mereka sayangkan Umno Terengganu, mereka juga harus sama-sama berbincang dengan ikhlas," katanya.

Ditanya mengenai desakan dari kalangan ADUN BN Terengganu yang mahu menteri besar ditukar, Hisham berkata:

"Saya tidak berhak untuk menukar menteri besar, tetapi saya hendak dengar dahulu apakah masalah maslah yang dihadapi dalam politik Terengganu.

ADS