Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib kini 'perdana menteri rakyat'
Diterbitkan:  May 14, 2009 3:24 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Kita kini bukan sahaja mempunyai "Pakatan Rakyat", tetapi juga "perdana menteri rakyat" apabila Datuk Seri Najib Razak juga mahu semangat perkataan "rakyat" digabungkan dengan jawatannya - melambangkan seorang pemimpin yang mesra rakyat dan memahami mereka.

"Saya sentiasa bersama-sama dengan rakyat dan akan terus bersama-sama dengan rakyat," kata perdana menteri.

Tegasnya, tidak sepatutnya wujud anggapan bahawa beliau merupakan anak golongan bangsawan.

"Kita mesti lihat kepada hala tuju negara, kita mesti faham, mesti merasai denyutan nadi rakyat, nadi negara, kuasa rakyat, kita mesti merasainya," beliau dipetik berkata ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Majlis itu yang bertema "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden Cuepacs Omar Osman.

Menurut Bernama , Najib berkata sebaik sahaja beliau mengambil alih

pentadbiran negara, agenda pertama yang dilakukan ialah "turun padang" yang disifatkannya sebagai tinjauan mesra seperti di Puduraya.

"Saya melawat Puduraya kerana sebahagian besar rakyat menggunakan Puduraya, terutama nak balik kampung, cuti raya.

"Saya tengok, dan bukan sahaja tengok dengan kepala dan mata saya sendiri keadaan di situ, tetapi juga dapat menghidu udara dan bau di situ.

"Saya katakan berbeza dengan taklimat yang diberikan oleh Datuk Bandar berbanding (apabila) turun dan melihat keadaan sebenar di Puduraya.

"Banyak bezanya, macam bumi dan langit," katanya lagi.

Oleh sebab itu, tambahnya, beliau mahu turun padang dan tidak mahu sebarang formaliti seperti hamparan merah, bunga manggar dan tanpa krew tv (media).

Katanya lagi, beliau akan tetap turun padang kerana mahu meninjau sendiri bagi menyelesaikan masalah rakyat.

ADS