Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hari ini melancarkan manifesto bersama dengan 113 inisiatif bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka ke-16, merangkumi tawaran air percuma, bantuan pendidikan dan sasaran pelaburan RM30 bilion.

Kerjasama itu berlangsung ketika BN masih berkongsi kuasa dengan PH dalam kerajaan persekutuan namun kedua-duanya bersaing di Melaka.

Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh membentangkan manifesto bertemakan “Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara.”

"Manifesto ini merangkumi perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta keperluan pembangunan negeri.

Ab Rauf Yusof Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Perikatan Nasional.

"Saya lihat tidak ada aspek-aspek penting yang ketinggalan. Jadi atas dasar itu kita yakin ianya akan memberi satu lembaran baru kepada rakyat Melaka dengan suatu penekanan oleh pihak kerajaan yang mementingkan kepentingan rakyat, kos sara hidup, kepentingan pendidikan, perumahan dan juga keperluan kehidupan yang lain saya rasa memenuhi kehendak rakyat Melaka," katanya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Turut hadir Naib Presiden Umno merangkap Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan serta pemimpin kedua-dua gabungan, antaranya Ketua Penerangan PN Annuar Musa yang juga bekas ahli Umno, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Anggota Parlimen Pendang Awang Hashim.

Pelancaran manifesto BN-PN malam ini menyusul teguran Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap menteri yang menyerang kerajaan ketika berkempen pada PRN Melaka. Anwar pada majlis DAP malam tadi mencabar mereka supaya menyuarakan pandangan dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Dia mengingatkan rakan politiknya itu turut mempunyai wakil dalam pentadbiran, termasuk timbalan perdana menteri dan menteri.

"Ini kawan-kawan saya dalam kerajaan, masa kempen dia serang. Tapi dalam kerajaan dia ada timbalan perdana menteri, ada menteri itu, menteri ini.

"Kalau ada setuju, tak setuju cakap dalam cabinet besok (hari ini Jumaat) pagi, 9 pagi bikin. 9 sampai 12.30, tiga jam. Cakaplah!" 

Hari ini pula, pengerusi PH itu menyatakan secara peribadi dia tidak bersetuju dengan tindakan Umno membayar denda RM50 juta bagi pihak bekas perdana menteri Najib Razak.

Anwar menegaskan persahabatan dengan Najib tidak seharusnya memberi gambaran kepada rakyat kegiatan rasuah membabitkan berbilion ringgit boleh dibiarkan tanpa ketegasan.

“Apa yang kita nak didik kepada anak-anak kita? Satu prinsip akhlak yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui keputusan pembayaran itu hak Umno serta menegaskan kerajaan menghormati proses undang-undang dan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan prinsip perlembagaan.

Sementara itu, Ab Rauf, yang juga ketua menteri sementara Melaka mendakwa BN sudah melaksanakan hampir keseluruhan manifesto yang ditawarkan pada PRN 2021 lalu.

Menurut Ab Rauf, manifesto BN-PN kali ini pula menyasarkan pelaburan sehingga RM30 bilion yang merangkumi pembangunan kawasan baru dan sektor ekonomi berteknologi tinggi.

“Seiring dengan itu, dalam aspek pendidikan anak-anak Melaka dari keluarga B40, kita tawarkan bantuan sekali beri untuk mengikuti program pensijilan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan kita juga mahu menjadikan negeri ini sebagai hab TVET nasional,” katanya.

Antara komitmen lain termasuk bekalan air percuma bagi pengguna domestik dengan penggunaan di bawah 20 meter padu sebulan, tiada kenaikan kadar cukai tanah selama lima tahun serta bantuan dana perniagaan kepada peniaga kecil.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Takiyuddin menyifatkan manifesto berkenaan sebagai usaha kolaboratif yang "boleh dicapai".

"Saya lihat tidak ada aspek-aspek penting yang ketinggalan.

"Jadi atas dasar itu kita yakin ianya akan memberi satu lembaran baru kepada rakyat Melaka," katanya.

Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS turut menyatakan keyakinan kerjasama PN dengan BN akan membuahkan hasil positif bagi gabungan itu di kelima-lima kerusi yang ditandinginya.

Kempen pilihan raya Melaka memasuki hari keenam, dengan hari pengundian dijadualkan pada 14 Nov.

Pada PRN kali ini, BN bertanding di 23 kerusi manakala PN di lima kerusi, meliputi kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 10 Nov dan hari pengundian pada 14 Nov.