AGC arah Najib 'kekal di tempat tahanan sedia ada'
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata pelaksanaan tahanan rumah Najib Razak wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran perintah pengampunan bersyarat terhadapnya.
Menurut AGC, persoalan itu melibatkan kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International serta pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB.
"Khususnya berhubung perintah mahkamah yang menetapkan bahawa hukuman bagi kes 1MDB hendaklah bermula selepas selesai hukuman penjara bagi kes SRC International," kata jabatan itu padakenyataan hari ini.
AGC menjelaskan penangguhan buat sementara waktu itu sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Order of Discharge tersebut diselesaikan.
/file/attachments/889/hujan_565054.jpg)
“Dalam tempoh tersebut, status penahanan beliau hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.
"Penangguhan sementara ini bukan bertujuan untuk mempertikaikan atau mengetepikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya merupakan langkah bagi memastikan titah tersebut dan perintah mahkamah yang berkaitan dilaksanakan dengan tepat, teratur dan selaras dengan kedudukan undang-undang sebenar."
"Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya setelah penelitian dan penjelasan berhubung perkara ini selesai dilaksanakan,” kata jabatan itu.
Terdahulu, Najib meninggalkan Penjara Kajang kira-kira jam 2.37 petang dengan menaiki sebuah SUV, diiringi beberapa kenderaan serta van Jabatan Penjara.
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-template-06112026-04_456996.jpg)
Najib kemudian dilaporkan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan menyelesaikan beberapa proses sebelum dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, untuk menjalani tahanan rumah.
Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 Sept 2026 membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.
Bagaimanapun, AGC berkata terdapat dua tafsiran mengenai kesan pembayaran denda itu yang memerlukan penelitian lanjut.
Jabatan itu menyatakan menurut tafsiran pertama, pembayaran tersebut hanya menyelesaikan komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International terus berjalan sehingga 23 Ogos 2028.
Dalam tafsiran ini, AGC berkata tahanan rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif untuk menjalani baki hukuman penjara dan bukannya penamatan hukuman tersebut.
Menurut jabatan itu lagi, tafsiran kedua pula menganggap pembayaran denda itu sebagai syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus menyebabkan keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap selesai.
AGC berkata pihaknya meneliti kesan undang-undang Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh hari ini, yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pembayaran denda RM50 juta direkodkan.
Perintah tersebut kata AGC, mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta namun pada masa sama menyatakan baki hukumannya hendaklah dijalani secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
AGC menjelaskan status baki hukuman penjara bagi kes SRC International turut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara Najib bagi kes 1MDB.
Ini berikutan perintah mahkamah menetapkan hukuman bagi kes 1MDB bermula selepas hukuman penjara bagi kes SRC International selesai.
Perkara itu juga perlu diteliti dengan mengambil kira keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Okt 2026 yang menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB, kata AGC lagi.
Jabatan itu berpandangan penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil, memandangkan kerumitan isu serta implikasinya terhadap titah pengampunan dan perintah mahkamah.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/najibrazak1_740838.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.