Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyokong PAS daripada kalangan kaum India menyambut baik gesaan supaya penyertaan bukan Islam sebagai ahli bersekutu dalam parti itu disegerakan.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS (KPP) kaum India, N Balasubramaniam mendakwa bahawa keahlian kelab tersebut kini melebihi 40,000 orang.

"Keahlian dalam kelab ini begitu besar sekarang. Di Perak 19,000 masyarakat India mengganggotai KPP; 4,800 orang di Pahang, 15,000 di Kedah dan 5,000 di Selangor," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Beliau bagaimanapun menolak pandangan bahawa usaha untuk membuka keahlian PAS kepada bukan Islam dan menaiktaraf KPP kepada status dewan, sebagai lambat.

"Semua pihak dalam PAS sudah menerimanya. Cuma tinggal hendak pinda perlembagaan dengan pihak pendaftar pertubuhan sahaja," katanya.

Sehubungan itu, Balasubramaniam berharap keputusan permukiman PAS di Langkawi pada November lalu untuk membuka keahlian parti kepada bukan Islam, akan menjadi kenyataan tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata, KPP juga dibahagikan kepada dua kumpulan penyokong - kaum Cina dan India - mulai Mac lalu bagi memastikan kepentingan dan kebajikan masyarakat masing-masing lebih terjaga.

"Seperti kita tahu, golongan India masih tertinggal dalam banyak bidang berbanding kaum Cina. Jika dipimpin orang Cina, mungkin mereka tidak tahu tentang perkara ini," katanya, sambil mendakwa, kini masalah kaum India lebih mudah disuarakan.

Sejak ditubuhkan pada 2004, tidak pernah ada tokoh masyarakat India mempengerusikan kelab itu walaupun keanggotaan dan sokongan mereka terhadap PAS didakwa melebihi kaum Cina.

Minggu lalu, penasihat KPP, Hu Pang Chow mengkritik tindakan pemimpin PAS yang didakwanya "tidak serius" untuk membuka penyertaan bukan Islam ke dalam parti tersebut, menyebabkan pelaksanaannya menjadi lambat.

Dalam reaksinya sehari selepas itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Mujahid Yusof Rawa menafikan perkara itu.

Menurutnya, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bulan lalu untuk meneliti secara lebih serius perkara tersebut dan mengemukakan cadangan teknikalnya ke arah pindaan perlembagaan PAS.

ADS