Tujuh Sasterawan Negara menggesa kedaulatan undang-undang ditegakkan secara adil dan saksama tanpa dua ukuran antara golongan berkuasa dengan rakyat biasa.

Dalam kenyataan bersama bertarikh 12 Nov, mereka menegaskan prinsip itu mesti dilaksanakan tanpa mengira kedudukan, pangkat, kekayaan, pengaruh, keturunan, kaum, agama mahupun latar belakang seseorang.

"Tiada sesiapa yang boleh menganggap dirinya terlalu berkuasa untuk dipertanggungjawabkan, dan tiada sesiapa yang terlalu lemah sehingga dinafikan hak untuk mendapatkan keadilan," menurut kenyataan itu tanpa menyebut nama atau merujuk kes tertentu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani A Samad Said, Baharuddin Zainal (Baha Zain), Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Zurinah Hassan, Siti Zainon Ismail dan Rahman Shaari.

Ketujuh-tujuh sasterawan itu juga menyifatkan kedaulatan undang-undang sebagai asas membina negara demokratik, berintegriti dan bermaruah, serta menjamin hak, kebebasan, keselamatan dan keadilan setiap warganegara.

Sebagai karyawan kesusasteraan, mereka menegaskan bahasa dan sastera mempunyai tanggungjawab menyuarakan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.

Menurut mereka, martabat negara turut diukur melalui caranya melayani rakyat, khususnya golongan yang tidak mempunyai kuasa, pengaruh dan kemampuan memperjuangkan kepentingan sendiri, selain kemajuan ekonomi, teknologi serta kekuatan institusi.

"Undang-undang yang adil ialah undang-undang yang melindungi semua, bukan hanya mereka yang berkuasa; yang mendengar suara semua termasuk rakyat dan orang kecil, bukan hanya mereka yang berpengaruh; dan yang memberikan keadilan kepada semua, bukan hanya mereka yang mempunyai kemampuan untuk mendapatkannya," menurut kenyataan itu.

Mereka turut mengingatkan prinsip Kedaulatan Undang-undang dalam Rukun Negara perlu dihayati dan dilaksanakan supaya tiada seorang pun berada di atas undang-undang dan tiada seorang pun dinafikan perlindungan undang-undang.

Gesaan tokoh utama sastera tanah air ini hadir ketika perdebatan mengenai pengampunan bersyarat bekas perdana menteri Najib Razak serta pelaksanaan tahanan rumahnya masih berlangsung.

Najib mula menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada 10 Nov, selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pada hari sama.

Perintah itu membolehkannya menjalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Sept.

Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjaranya kepada enam tahun dan dendanya kepada RM50 juta. Najib akan menghabiskan baki hukuman penjara kes SRC di kediamanya di Jalang Langgak Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028.

Selepas itu, Najib dijadualkan kembali ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara berasingan dalam kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan dana kira-kira RM2.3 bilion, jika rayuannya di mahkamah tidak berpihak kepadanya.

Bekas presiden Umno itu sedang merayu sabitan dan hukuman kes 1MDB itu di Mahkamah Rayuan.

Pada 26 Dis 2025, Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas 25 pertuduhan — empat salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram — serta menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion.