Menyiasat individu berpengaruh memang membawa risiko tersendiri, namun bagi bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain, tugas itu tidak pernah tertumpu kepada siapa yang perlu didepani dalam menjalankan tanggungjawab negara.

Bekas ketua pasukan penyiasat SPRM dalam skandal SRC International Sdn Bhd (SRC) itu, perkara yang paling utama di benaknya ialah menegakkan integriti, melakukan apa yang betul, serta melaksanakan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Malaysiakini, Rosli menyatakan dia sentiasa berpegang kepada prinsip melayan semua pihak secara adil — termasuk mereka yang sedang disiasat.

Dan dia yakin mendapat kekuatan untuk mempertahankan prinsip itu dengan rahmat Allah.

Katanya, apabila mahu mendakwa seseorang perkara asas yang perlu dipenuhi ialah menilai sama ada bukti yang ada mencukupi atau tidak.

Jika siasatan mendapati bukti tidak cukup untuk mendakwa individu terbabit, pegawai yang bertanggungjawab melakukan siasatan harus jujur ​​dan mengakui bahawa mereka tidak wajar didakwa.

"Namun sebaliknya, kalau siasatan lanjut menghasilkan bukti yang mengukuhkan kes, dan terdapat bukti yang mencukupi, maka kita mesti meneruskan pendakwaan.

"Itulah yang saya maksudkan apabila saya kata kita tak boleh mengkhianati hasil sesuatu siasatan," katanya.

Tambah Rosli, apabila sesuatu kes dibawa ke mahkamah dan dibicarakan, ia akan diuji.

Di situ, tambahnya, sebarang kelemahan atau kekurangan – jika ada – akan terdedah ketika prosiding berlangsung.

Jika pertuduhan dibuat tanpa bukti sokongan yang sah, katanya, ia hanya akan merumitkan dan kes tersebut berpotensi menyebabkan pihak pendakwaan kalah.

"Oleh sebab itulah pegangan agama mesti menjadi asas utama, sebab pada akhirnya, kita ada pendakwaan terakhir (di akhirat)," katanya.

Bersara selepas 32 tahun

Rosli mengetuai siasatan SPRM terhadap SRC yang bermula pada Julai 2015. Dia dan seorang lagi pegawai SPRM bagaimanapun ditangkap oleh polis pada 5 Ogos tahun itu atas dakwaan kononnya terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Selain pejabat mereka di Putrajaya diserbu polis, turut terlibat ialah rumah Rosli sendiri – juga di Putrajaya. Tindakan itu dibuat polis sebagai sebahagian daripada siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun di sebalik semua itu, siasatan SPRM akhirnya membawa kepada pendakwaan Najib pada 2018.

Pada 2020, Najib akhirnya didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah, dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan RM42 juta dana SRC.

Hakim menetapkan bekas perdana menteri itu dihukum penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Najib bagaimanapun kemudian mendapat dua pengampunan. Pertama, hukuman penjara ke atasnya dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dipotong menjadi RM50 juta.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim, untuk keluar dari Penjara Kajang dan menghabiskan baki pemenjaraannya di rumah di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Kelonggaran itu tertakluk kepada denda RM50 juta – yang dilunaskan oleh pihak Najib pada 6 Nov lalu. Najib kemudian dipindahkan ke rumahnya itu pada 10 Nov.

Rosli (kiri) semasa majlis serah tugas pada tahun lalu.

Rosli pula mencapai usia persaraan wajib 60 tahun pada Julai tahun lalu, sekali gus menamatkan perjalannya sebagai pegawai SPRM selama 32 tahun.

Ditanya mengenai pengalamannya mengendalikan siasatan SRC, Rosli – yang dikenali dalam kalangan rakan sekerja sebagai Rosli Janggut – mengakui terdapat campur tangan pada peringkat awal siasatan, namun dia memilih untuk tidak mengulas lanjut.

Keadaan itu bagaimanapun tidak berpanjangan. Selepas berakhirnya PRU ke-14 pada 2018, suasana berubah.

Kata Rosli, dia dan pasukan penyiasat akhirnya menerima kerjasama yang baik daripada semua pihak yang diperlukan untuk membantu siasatan, termasuk Najib sendiri.

Rosli turut berpendapat perkembangan itu turut disumbang oleh faktor liputan yang diberikan oleh media massa terhadap isu SRC secara meluas. Justeru dia menyatakan penghargaan kepada wartawan serta organisasi berita.

"Apabila kes ini mendapat liputan daripada media tempatan dan antarabangsa – malah ada yang menyifatkannya sebagai case of the century dan sebagainya – ia memudahkan kami mendapat kerjasama daripada saksi-saksi serta individu yang sedang disiasat," katanya.

Minat siri penyiasatan TV, berita semasa

Malaysiakini telah cuba mendapatkan komen Rosli mengenai perkembangan terkini kes SRC, termasuk isu tahanan rumah Najib. Namun, pesara itu menyatakan dia memilih untuk tidak menyentuh perkara tersebut.

Dia juga enggan mendedahkan perincian lanjut mengenai siasatan dengan menyatakan kebimbangan bahawa ia mungkin memberi kesan kepada satu lagi siasatan berkaitan SRC.

Mengimbas kembali kerjayanya dalam agensi antirasuah negara, Rosli berkata dia mula meminati bidang siasatan jenayah sejak zaman sekolah menengah lagi kesan daripada sering mengikuti laporan akhbar mengenai kes-kes berprofil tinggi.

Antara kes yang menarik perhatian Rosli ketika itu ialah pembunuhan Speaker Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib pada 1982, pembunuhan Jean Perera Sinnappa pada 1979, serta operasi polis menumpaskan penjenayah terkenal, Botak Chin, pada 1976.

"Ketika penangkapan Botak Chin, terdapat sebuah siri televisyen popular berjudul The Rookies. Saya masih ingat membaca laporan dalam Utusan Malaysia tentang bagaimana polis mengepung dia di sebuah kilang papan menggunakan taktik yang serupa dengan yang dipaparkan dalam The Rookies.

"Ketua Polis Selangor pada masa itu ialah Datuk P Alagendra. Saya memang sangat gemar membaca mengenai kes-kes macam tu,” katanya.

Justeru demi memenuhi rasa ingin tahu terhadap kes-kes sebegitu, Rosli berkata, dia sanggup pergi ke rumah jiran semata-mata untuk meminjam surat khabar dan membaca laporan berkaitan.

Botak Chin.

Pun begitu graduan sains komputer itu tidak pernah terfikir untuk menyertai pasukan polis. Alasan Rosli, dia sendiri berasa tidak sesuai untuk menjadi anggota polis.

Antara lain – secara berseloroh Rosli memberitahu bagaimana di begitu lemah dalam aktiviti berkawad.

Selepas menamatkan pengajian di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), pekerjaan pertama diceburi Rosli ialah di sebuah anak syarikat Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Pada 1993, dia memohon untuk menyertai perkhidmatan awam dengan kekosongan jawatan di Jabatan Pengangkutan Jalan dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) – yang kini dikenali sebagai SPRM.

Kata Rosli pada masa itu dia tidak mempunyai pilihan khusus lalu menerima tawaran daripada BPR untuk menyertai agensi tersebut sebagai penolong pegawai penyiasat.

Selepas melengkapkan latihan wajib, dia ditempatkan di pejabat BPR Raub, di Pahang. Penempatan keduanya ialah di bahagian ekonomi agensi tersebut, membolehkan dia memanfaatkan pengalaman kerjanya di BSKL.

Akhirat tak pernah mungkir

Sejak itu, Rosli sudah melalui melalui pelbagai penempatan dan kenaikan pangkat, sehinggalah akhirnya bersara sebagai Pengarah SPRM Kelantan.

Sepanjang kerjaya lebih tiga dekad itu, Rosli turut terlibat dalam beberapa siasatan berprofil tinggi lain, termasuk kes yang melibatkan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), kes rasuah yang membabitkan ahli-ahli parlimen, serta mengetuai unit siasatan dalaman SPRM.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai pegawai integriti di Kementerian Pengangkutan.

Kini, selepas memasuki era persaraan Rosli banyak menghabiskan masa yang ada dengan pelbagai komitmen keluarga dan aktiviti dakwah.

Bahkan bapa kepada lima orang anak itu berazam mahu menumpukan baki usianya untuk kerja-kerja keagamaan dan membuat persediaan menghadapi akhirat.

"Sememangnya banyak tugas yang perlu kita laksanakan dalam bidang ini. Saya mahu fokus kepada amal kebajikan sebagai bekalan untuk kehidupan di akhirat kelak.

"Hari akhirat memang semakin menghampiri, kan?" katanya.

Pun begitu ia tidak bermakna Rosli terputus langsung daripada kehidupan profesionalnya.

Kata Rosli dia masih bersedia untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya – sama ada melalui ceramah mengenai integriti mahupun melatih pegawai SPRM yang lebih muda – pada bila-bila masa diperlukan.