BELASUNGKAWA | Allahyarham Zahidi Zainul Abidin kembali ke rahmatullah pada 13 November pada usia 65 tahun. Politik membawa Zahidi dari kerusi DUN Beseri ke Parlimen Padang Besar atas tiket Umno-BN, sebelum menjadi timbalan menteri di bawah dua perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Apabila digugurkan sebagai calon BN pada PRU15, dia memilih berdiri sendiri sebagai calon bebas di Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi, langkah yang menyebabkan keahlian Umnonya terbatal. Dia tewas dan hilang deposit di kedua-dua kerusi itu, tetapi kemudian menemukan wadah politik baru dalam PKR pada 2024.

Di sebalik segala pasang surut dan pertukaran wadah itu, Zahidi tetap dikenang sebagai pejuang ketum perubatan yang mahu membuka jalan kepada kehidupan lebih baik untuk orang kampung.

Saya pernah mewawancara allahyarham bersama editor Jimadie Shah Othman dan wartawan Shakira Buang untuk Malaysiakini pada 2018. Apabila membaca semula wawancara itu, saya menemukan seorang pemimpin yang berusaha menerangkan kehidupan rakyatnya kepada pembuat dasar di parlimen dan elit kuasa di Putrajaya.


BACA BERKAITAN:

Lampu hijau untuk 'pekebun ketum' tak lama lagi?

Isu ketum: MB Perlis kurang cerdik, kata bos Risda


Sebagai wakil rakyat Padang Besar, dia memahami hubungan masyarakat utara dengan pohon yang tumbuh secara semulajadi di tanah mereka. Bagi sebahagian penduduk, ketum sudah lama menjadi sebahagian pengetahuan yang diwariskan; daun direbus untuk memulihkan tenaga atau digunakan dalam rawatan tradisional. Pengetahuan itu hadir melalui pengalaman hidup, diperhatikan dan diperturunkan dari zaman ke zaman.

Pada saya, pembelaan Zahidi terhadap ketum turut membawa kita kepada wacana dekolonisasi, pembebasan daripada cara fikir penjajah dan mengubah undang-undang peninggalannya.

Akta Racun 1952 lahir ketika tanah air masih di bawah pentadbiran British. Kita mewarisi undang-undangnya, bersama kuasa menentukan bahan yang boleh digunakan dan batas penggunaannya. Selepas merdeka, kita mempunyai tanggungjawab menilai semula warisan tersebut berdasarkan ilmu, pengalaman serta keperluan rakyat sendiri.

Mudarat dan manfaat

Dekolonisasi juga bermakna memberi tempat kepada pengetahuan tempatan dalam perbincangan tentang kesihatan dan kehidupan. Pengalaman orang kampung layak didengar. Penyelidikan perlu diteruskan supaya manfaat, dos, kesan sampingan dan risiko dapat difahami dengan lebih baik. Sebuah negara yang menghormati rakyatnya sepatutnya sanggup membawa pengalaman tradisi ke meja penyelidikan dengan fikiran terbuka.

Dalam perjuangan Zahidi, dia melihat usaha mencari keseimbangan antara mudarat dengan manfaat. Allahyarham bercakap tentang pelesenan, kawalan, penyelidikan perubatan dan usaha membendung penyalahgunaan. Dia mahu manfaat yang mungkin diperoleh rakyat diberi peluang untuk berkembang melalui aturan yang sesuai. Kebimbangan terhadap salah guna perlu dijawab dengan dasar yang teliti dan berperikemanusiaan.

Ketika menerajui Risda, fikirannya tertumpu kepada pekebun kecil yang berdepan kejatuhan harga getah ketika musim hujan dan tekanan kos hidup. Dia mengusulkan penanaman ketum untuk membekalkan daun bagi penyelidikan perubatan. Dalam cadangan itu ada persoalan yang sangat dekat dengan kehidupan: bagaimana sebuah keluarga boleh menambah pendapatan daripada tanah yang mereka usahakan setiap hari?

Allahyarham turut mencadangkan sebahagian hasil ekonomi ketum digunakan semula untuk mengawal penyalahgunaan dan membantu pemulihan. Saya melihat pemikiran yang cuba menghubungkan pendapatan, kesihatan dan tanggungjawab sosial. Orang yang terjebak dalam penagihan bahan juga masih mempunyai masa depan. Mereka perlu diberi peluang membina semula kehidupan dan kembali menyumbang kepada masyarakat.

Perjuangan itu sudah dibawanya ke Dewan Rakyat pada 1 April 2015, ketika kerajaan membahaskan Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) (No. 2) 2014. Zahidi, ketika itu wakil Umno, antara yang mempertikaikan usaha memasukkan ketum dalam akta tersebut. Dia meminta cadangan itu dikaji semula supaya undang-undang menjenayahkan ketum tidak terlalu keras dan menyediakan ruang pengawalan.

Dia turut mempersoalkan keadilan menyamakan ketum dengan dadah dalam kerangka hukuman yang dicadangkan. Ketika mencelah perbahasan Gobind Singh Deo, dia mengingatkan Dewan Rakyat tentang perbezaan antara kedua-duanya. Dalam pendiriannya, kawalan perlu mengambil kira sifat bahan serta kehidupan masyarakat yang menggunakannya.

Ahli parlimen yang membantah cadangan itu merentasi parti dan wilayah. Dari utara, ada Zahidi, Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) dan Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah). Dari Terengganu ada Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu). Suara kritis turut datang daripada wakil PAS seperti Mohamed Hanipa Maidin dari Sepang serta wakil DAP seperti Gobind dari Puchong. Kebimbangan terhadap penganiayaan rakyat menemukan kesepakatan mereka dalam perbahasan tersebut.

Perbahasan hari itu berakhir dengan kerajaan menangguhkan bacaan kedua dan ketiga RUU berkenaan.

Pada 9 November 2015, Bernama melaporkan kerajaan masih perlu memperhalusi cadangan itu sebelum membentangkannya semula. Kebimbangan terhadap nasib penduduk yang menanam dan menggunakan ketum bagi perubatan tradisional menjadi antara sebab pembentangan sebelumnya ditarik balik.

Rekod itu memperlihatkan keberanian Zahidi membawa kehidupan rakyat ke tengah pertimbangan undang-undang. Dia sanggup mempersoalkan cadangan kerajaan yang disokong partinya sendiri apabila merasakan rakyat boleh teraniaya. Tanggungjawab mewakili orang kampung diterjemahkannya menjadi hujah yang perlu dijawab oleh pembuat dasar.

Dalam wawancara Malaysiakini pada 2018, ada tiga perkataan yang terasa paling dekat menjelaskan sifat ihsannya sebagai seorang pemimpin.

“Kasihanlah dekat orang.”

Itulah kata-katanya ketika membantah pendekatan yang mahu meletakkan ketum di bawah undang-undang yang sama dengan dadah berbahaya. Kebimbangannya tertumpu pada nasib penduduk kampung yang boleh terhimpit oleh hukuman berat. Dia meminta pembuat undang-undang memikirkan manusia yang akan menerima akibat keputusan mereka.

“Maknanya, kalau kita buat macam itu kerja kita bunuh orang sajalah, kerajaan keluarkan satu undang-undang yang kerjanya bunuh orang,” katanya.

Ayat itu keras. Tetapi di dalamnya saya mendengar kegelisahan seorang wakil rakyat terhadap kuasa menghukum. Dia tahu sebuah keputusan di parlimen boleh mengubah kehidupan orang kampung yang jauh dari pusat kuasa Putrajaya.

Menjadi wakil mereka menuntut keberanian untuk menyuarakan kegelisahan itu, termasuk ketika pendirian tersebut mengundang pertelingkahan dengan pemimpin lain.

Pada November 2018, ketika cadangan mengharamkan penanaman ketum kembali dibangkitkan, dia sekali lagi meminta kerajaan memikirkan pendapatan petani dan pekebun kecil. Pada Disember 2021, ketika menjadi timbalan menteri komunikasi, Zahidi mendesak kelulusan bagi penanaman ganja, hemp dan ketum untuk tujuan perubatan. Perubahan jawatan dan suasana politik tidak memadamkan perhatiannya.

Zahidi terus itiqamah membawa perkara yang mudah dijadikan bahan ejekan atau cemuhan orang yang tidak memahami isu itu. Dia memilih mendengar denyut nadi masyarakat yang diwakilinya dan mempertahankan ruang untuk mereka mendapat manfaat.

Sayang sekali, cita-cita dan visi allahyarham tidak kesampaian: pekebun kecil memperoleh kehidupan lebih baik, khazanah tumbuhan tempatan diberi ruang penyelidikan dan undang-undang berkembang bersama pengetahuan saintifik manusia.

Saya berharap ingatan kita terhadap Zahidi turut menghidupkan kembali kesediaan untuk mendengar suara, isu dan kepentingan masyarakat bawahan dari desa.

Buat keluarganya, saya mengucapkan takziah yang sedalamnya. Semoga mereka dikurniakan kekuatan menghadapi kehilangan ini. Semoga segala usaha allahyarham untuk membantu rakyat diterima sebagai amal kebajikannya.

Terima kasih Zahidi kerana pernah berdiri bersama orang kampung dan memberi harapan kepada mereka yang terpinggir. Al-Fatihah.


RAHMAT HARON ialah penulis, penyair, seniman visual dan performans.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.