Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anak Raja Petra bersalah mencuri
Diterbitkan:  May 19, 2009 3:11 PM
Dikemaskini: 11:50 AM

dikemaskini Anak seorang penulis blog terkenal mengaku bersalah atas empat pertuduhan mencuri dan memiliki motosikal curi serta melakukan pecah rumah di sekitar Shah Alam sejak Mac lalu.

raja azman raja petra Raja Azman Raja Petra, 32, yang beralamat No 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya 11.30 pagi tadi, lapor Bernama .

Tertuduh didakwa mencuri motosikal jenis Yamaha RXZ milik Mohd Syaiful Setapa, 24, seorang operator pengeluaran, membabitkan kerugian RM8,000 di Seksyen 19 pada 9.30 pagi 20 Mac lepas.

Lelaki - ditangkap pada 6 Mei lepas - juga mengaku memecah masuk ke dalam rumah Mohd Syaiful dan mencuri beg duit mengandungi kad pengenalan, wang tunai RM20, cukai jalan, kad-kad ATM Maybank dan BSN serta lesen memandu mangsa di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Menurut agensi berita itu lagi, Raja Azman juga mengaku mencuri telefon bimbit dan seutas jam tangan bernilai RM3,850 milik pelajar Saipul Adli Mohamed Yunus, 21, di rumah mangsa di Seksyen U2 pada 10 pagi 24 April lepas.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, turut mengaku bersalah memiliki sebuah motosikal curi kepunyaan pelajar Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23, bernilai RM6,000 di depan sebuah rumah di Apartmen Kinrara Court, Puchong pada 10.40 malam 5 Mei lepas.

Majistret Norkamilah Aziz mengenakan ikat jamin RM10,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 19 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman.

Tidak ada sesiapa yang menjamin Raja Azman, manakala bapanya Raja Petra Kamaruddin tidak kelihatan dalam Mahkamah Majistret Shah Alam sepanjang prosiding.

ADS