PARLIMEN | Perdana Menteri hari ini tampil menjelaskan alasan bagi kehadirannya di konsert Siti Nurhaliza Tarudin yang menuai kritikal sesetengah pihak khususnya kalangan pembangkang.

Menurut Anwar Ibrahim, dia menyertai puluhan ribu peminat Siti Nurhaliza di Konsert Gema Bumantara atas jemputan suami penyanyi terbabit, Khalid Mohamad Jiwa, dan artis terkenal itu sendiri.

"Siti Nurhaliza dan suaminya mohon sangat-sangat saya hadir. Betullah, saya bukanlah minat, tapi pergi juga walaupun lambat sikit, (dan) ditegur oleh beberapa rakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai menjawab celahan Mohd Sany Hamzan (PH - Hulu Langat) yang berpesan supaya Ahli Parlimen Tambun itu mengajaknya bersama jika ke konsert dan dia sanggup basah bersama.

Menjelaskan isu tersebut lebih lanjut, Anwar berkata Siti Nurhaliza memang seorang biduanita terkenal dan persembahannya memperkasa budaya, sama seperti apa yang dilakukan oleh seni lain.

Misalnya, tambah Anwar, seni wayang kulit, tarian tradisional serta seni dari Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama Anwar berterima kasih kepada pihak “warak-warak” yang menegurnya.

Anwar bersama Khalid berhujan sambil menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza.

Perdana Menteri menjelaskan, dia memiliki “kelemahan” justeru selain lagu Melayu dia juga meminati lagu lain termasuk Hindi.

"Terima kasihlah kerana yang tegur tu yang warak-warak (yang) tak pernah dengar lagu.

“Saya ini ada kelemahan saya kerana minat juga lagu bukan saja Melayu, Inggeris, Hindustan pun saya minat," katanya.

Pada Sabtu lalu, Anwar tampil sebagai tetamu istimewa dalam Konsert Gema Bumantara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Antara aksi persembahan Siti Nurhaliza di Bukit Jalil pada Sabtu lalu.

Gambar-gambar kehadirannya tular di media sosial dengan penampilan memakai baju kalis hujan ketika menonton persembahan berkenaan.

Seperti selalu muncul beberapa pihak yang mengkritik keberadaan Anwar di konsert tersebut.

Untuk rekod Siti Nuhaliza dan suaminya – yang mewakili Yayasan Nurjiwa – pernah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat perdana menteri di Putrajaya.

Dalam pertemuan pada 9 Mei tahun lalu itu, mereka sempat mengadakan perbincangan melibatkan pelbagai topik termasuk peranan yang boleh dimainkan penyanyi terbabit untuk menjadi teladan kepada artis masa kini.