KOLUM | Siapa memaksa Ismail Lasim di Port Dickson, Zahid?
KOLUM | Sekonyong-konyong Presiden Umno, Ahad Zahid Hamidi, menasihati semua 18 orang Adun BN Negeri Sembilan agar tidak lagi campur tangan dalam hal berkaitan Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) serta institusi diraja.
“Pendirian kita (BN) ialah kita mesti memisahkan permasalahan undang-undang dan juga institusi diraja dengan masalah pentadbiran kerajaan,” kata Ahmad Zahid.
Nanti dulu, Zahid.
Semua yang baik di Negeri Sembilan telah dimusnahkan dengan sekelip mata ekoran tindak-tanduk dan formula Umno. Misalnya, kepercayaan terhadap Undang-Undang Adat telah dinodai teruk sehingga menimbulkan keraguan ramai. Penghinaan dan penistaan oleh laskar siber (yang akaunnya muncul tiba-tiba dan nampaknya terlalu pro-Umno) terhadap Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang sah, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir belum reda.
Fitnah terhadap baginda ketika kempen PRN lalu masih melekat dan belum dibersihkan sehingga dipercayai oleh mereka di Luak Tanah Mengandung. Air mata Tunku Ampuan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang tumpah di KLIA1 masih belum kering.
Kacau-bilau di semua luak di Negeri Sembilan masih berlangsung. Kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun yang sedang berkemudi dengan baik memukat pelabur terpaksa dibubarkan ekoran penarikan sokongan Umno.
Dr Akmal Saleh, Ketua Pemuda Umno belum menyanggah Siow Kong Choon dari MCA (bukan DAP ya) dan kita belum tahu mengapa MCA berani melawan raja Melayu seperti itu.
Dan paling penting, Ismail Lasim pada usia 67 tahun masih belum memberitahu kita, siapakah yang memaksa dia untuk menandatangani proklamasi menurunkan Yamtuan Besar?
Semua itu perlu ada penanggungjawaban. Sama seperti Najib Razak melakukan kepunahan terhadap negara dan dihukum, kita juga meminta penanggungjawaban di Negeri Sembilan.
Siapa yang akan membersihkan najis dari hujung Mahkota Hills ke Pulau Sebang?
Kes yang luar biasa anehnya
Ia tidak harus dibiar menjadi misteri seperti tanda tanya Bigfoot di Tampin.
Kita mesti diberitahu siapakah yang memaksa Ismail di Port Dickson. Apa yang sebenar berlaku di Port Dickson?
Memanglah di akhirat nanti kita akan tahu juga; tetapi ada banyak lagi yang perlu kita tonton di akhirat kelak. Contohnya, siapa menyimbah asid pemain bola sepak negara. Tanda tanya itu boleh kita tangguh di akhirat kelak.
Tetapi Ahmad Zahid dan Ismail serta semua 18 orang Adun BN tidak boleh diizinkan menarik hand brake – khusus di kala PRN Melaka berada di persimpangan. Malah PRU juga bakal tiba.
Sekarang, kita perlu tahu siapakah yang membuat aniaya sehingga merosakkan habis keadaan stabil dan makmur di Negeri Sembilan sehingga menjadi bilau-kacau. Siapakah perlu bertanggungjawab mengharu-birukan Negeri Sembilan?
Ismail jangan bersenang hati setelah ‘dilempar ke bawah bas’ (kita juga mahu tahu siapa melemparkannya). Kita ulang: Surat Cara Proklamasi yang ditandatangani di Laguna Biru, Port Dickson pada pada 3 Ogos lalu terkait kedudukan Tuanku Muhriz adalah sesuatu yang besar dan bahaya.
Ismail mendakwa dokumen tersebut ditandatangani tanpa rela dan secara paksa (duress). Dia membuat laporan polis mengenai perkara tersebut pada 8 Sept dan kita mahu tahu hasil siasatan.
/file/attachments/orphans/n9b1_742048.png)
Siapakah yang memaksa Ismail melakukan itu?
Seorang menteri besar dengan kelulusan undang-undang boleh dipaksa menurunkan raja. Ini adalah kes yang luar biasa anehnya.
Ini kekal misteri, dan apa berlaku kepada Ismail itu tidak serumit kes simbah asid yang mudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Pemaksaan terhadap Ismail melibatkan seorang raja Melayu. Jika ia boleh berlaku di Negeri Sembilan, apa halangan ia tidak boleh berlaku di negeri-negeri beraja yang terdapat prinsip penggiliran atau pertikaian takhta?
Misteri Ismail di Port Dickson ini bukan sesuatu yang enteng. Pada 8 Sept lalu akhbar Singapura, The Straits Times, menyatakan barisan kepimpinan tertinggi Umno termasuk Ahmad Zahid, Asyraf Wajdi Dusuki (setiausaha agung), dan Azalina Othman Said (Menteri Undang-Undang dan Ketua Penerangan Umno) turut hadir dalam pertemuan berkenaan.
Ada yang berbau derhaka
Mereka sudah membuat penafian. Kita juga tidak perlu menunggu hari akhirat untuk hal sebegini. Justeru Ismail harus tahu yang akur kepada Ahmad Zahid untuk “jangan lagi campur” di tengah porak-peranda dan hiruk-pikuk yang timbul di Negeri Sembilan itu adalah suatu kelakuan kurang ajar juga.
Itulah kepala daripada kemurkaan Tuanku Muhriz terhadap Ismail.
Mantan Undang Sungai Ujong, Jelebu dan Rembau dengan pongah ada menyatakan bahawa Ismail menandatangani pengisytiharan bagi melucutkan Tuanku Muhriz daripada takhta. Maknanya ia membuka jalan bagi pemasyhuran Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, iaitu putera kepada pemerintah terdahulu.
Kejadian itu sangat aneh kerana ia tidak melalui proses undang-undang iaitu penyiasatan dan pengadilan di Dewan Keadilan Undang. Ia adalah satu kesalahan dan penderhakaan.
Lebih misteri, dalam laporan The Straits Times itu, Ismail dikatakan dipaksa menandatangani pengisytiharan tersebut under duress sementara kepimpinan tertinggi Umno didakwa bekerjasama rapat dengan Undang yang asal.
Bukan itu sahaja, dalam laporan berkenaan dikemukakan yang kononnya Ismail dihalang daripada meninggalkan pertemuan tersebut sehingga dia menyetujui langkah yang mahu diambil ke atas Tuanku Muhriz itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/c7d0db86b9bac66b8c1f8754bd7a09f9.jpg)
Meskipun kejadian itu berlaku pada 3 Ogos, Ismail tetap melaksanakan angkat sumpah jawatan exco di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos.
Tidak semua perkara boleh menjadi NFA. Satu penganiayaan terhadap institusi diraja dan adat telah terjadi di Negeri Sembilan yang mengambil masa berdekad-dekad untuk dipulihkan. Ahmad Zahid tidak boleh cuci tangan dengan menyorong Adun Umno Negeri Sembilan untuk berkelakuan seperti biasa.
Tangan BN, PAS dan Wawasan masih ada bau penderhakaan.
Ismail mesti melakukan sesuatu yang betul. Dia harus menjelaskan kepada kita semua, siapa yang memaksanya. Kita tahu Ismail baik, Ismail itu berwajah kasihan, Ismail orang Juasseh dan orang sebelah Pilah tidak akan salah memilih.
Tetapi masa tidak memihak kepada Ismail. Jika dia ‘dilempar ke bawah bas’, Ismail boleh cepat-cepat menggulir ke tepi dan membaling penjahat sebenar ke bawah sinun. Masih ada sedikit masa untuk dia melakukannya.
Sekali lagi, siapa punya kerja mengkhianati Tuanku Muhriz? Come on Ismail, beritahu kami semua.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap anak buah dari suku Tiga Batu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/ismail23423432_597763.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.