Apa yang pada awalnya kelihatan seperti kesilapan pejabat daerah di Mahsan, Bahau, kini mendedahkan percanggahan keterangan mengenai dua kampung baru Cina yang berjiran, serta rundingan politik di sebalik pelantikan ketua kampung.

Selama hampir dua minggu, media berbahasa Cina dan masyarakat Cina di Negeri Sembilan mempersoalkan bagaimana seorang anggota PAS berketurunan India Muslim boleh dilantik sebagai ketua kampung baru Cina di Jempol.

Kontroversi itu bermula pada 8 Okt lalu apabila akhbar berbahasa Cina mula melaporkan bahawa seorang calon PAS akan dilantik sebagai ketua Kampung Baru Mahsan.

Pelantikan itu segera menarik perhatian ramai kerana belum pernah berlaku ada ahli PAS mengetuai sebuah petempatan Cina di kampung baru di Negeri Sembilan.

Beberapa hari kemudian, Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Leaw Kok Chan, berkata masalah tersebut berpunca daripada kekeliruan pihak Pejabat Daerah Jempol semasa proses lantikan ketua kampung.

Leaw mendakwa pihak berkuasa tempatan terbabit tersilap mengenal pasti Kampung Baru Mahsan sebagai Kampung Seri Mahsan.

Menurutnya lagi, calon ketua kampung yang dicadangkan MCA sepatutnya dilantik mengetuai Kampung Baru Mahsan, manakala calon yang dicadangkan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan merangkap Adun Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa, mengetuai Kampung Seri Mahsan.

Selepas perbincangan dibuat, kedua-dua calon itu diangkat di tempat yang sepatutnya.

Adakkah masalah selesai? Tidak juga.

Proses tawar-menawar di akar umbi

Tidak lama kemudian timbul persoalan apabila didapati bahawa Kampung Seri Mahsan yang disebut dalam kenyataan MCA itu sebenarnya bukan sebuah petempatan Melayu. Ia juga sebuah kampung baru yang hampir semua penduduknya berbangsa Cina.

Lebih tepat, Kampung Seri Mahsan dikategorikan sebagai Kampung Baru Rangkaian, iaitu petempatan komuniti Cina yang dimasukkan dalam sistem pentadbiran kampung baru yang lebih luas.

Namun, masyarakat Cina setempat sejak sekian lama mengenalinya sebagai Kampung Baru Seri Mahsan.

Kampung Seri Mahsan

Seorang pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Kampung Seri Mahsan ialah antara 59 kampung baru Cina yang diiktiraf di Negeri Sembilan.

Justeru, walaupun calon yang dinamakan PAS itu dipindahkan dari Kampung Baru Mahsan ke Kampung Seri Mahsan, hasil akhirnya tetap sama: individu keturunan India Muslim terbabit, Mohd Rafi Manimaran Abdullah, akan mengetuai sebuah kampung baru Cina.

Perkara yang menjadikan isu itu lebih menarik ialah kenyataan Mohd Rafi Manimaran kepada pemberita pada 15 Okt lalu.

Penjelasannya tentang pembahagian jawatan pada peringkat awal tidak sepenuhnya sepadan dengan penjelasan MCA kepada umum.

“Mula-mula memang nama saya (naik untuk) Kampung Baru Mahsan. Nama dia (kampung itu) Kampung Seri Mahsan, tapi apabila ada konflik sikit, kita setuju saja.

“Saya ambil Kampung Seri Mahsan, you (calon MCA) ambil Kampung Baru Mahsan.”

Malaysiakini berkunjung ke Mahsan dan menemui bekas ketua kampung, seorang pemimpin Gerakan tempatan, Mohd Rafi Manimaran serta Mohd Fairuz.

Hasil tinjauan mendapati isu berkenaan bukan sekadar melibatkan dua kampung yang namanya hampir sama sehingga membawa kekeliruan, malah memperlihatkan proses tawar-menawar politik di peringkat akar umbi yang lebih rumit.

Kampung Baru Mahsan dan Kampung Seri Mahsan terletak berhampiran. Kedua-dua kempung tersebut hanya dipisahkan oleh laluan utama: Jalan Bahau-Kemayan.

Kedudukan dua kampung yang berjiran

Saiz petempatan itu juga hampir sama luasnya dengan masing-masing didiami antara 50 hingga 60 isi rumah. Kebanyakan petempatan tersebut merupakan daripada dua baris rumah, dengan sebahagiannya kini dijadikan kedai dan premis makanan.

Setiap kampung juga mempunyai dewan komuniti sendiri. Dewan di Seri Mahsan lebih besar dengan kemudahan gelanggang bola keranjang dan badminton berbumbung di sebelahnya.

Dari segi pentadbiran, kedua-duanya ialah kampung yang berasingan. Namun, apabila melihat keadaan di lapangan, mudah difahami mengapa orang luar mungkin sukar membezakan kedua-dua kampung terbabit.

Di Kampung Seri Mahsan, Malaysiakini menemui sebuah pintu gerbang pintu yang memaparkan tulisan Cina 仁保县马身新村 (Kampung Baru Mahsan, daerah Jempol) dan diiringi terjemahan tulisan Melayu berbunyi “Kampung Mahsan Daerah Jempol”.

Di seberang jalan, Kampung Baru Mahsan tidak mempunyai pintu gerbang.

Pandangan dari atas dua kampung yang menjadi punca kekeliruan

Dewan komuniti di Seri Mahsan turut memperlihatkan kekaburan yang sama.

Papan tanda Cinanya masih tertera “马身民众会堂” (Dewan Komuniti Mahsan), manakala nama dalam bahasa Melayu ditulis sebagai “Balai Raya Kampung Seri Mahsan”.

Papan tanda yang kelihatan bercanggah itu berkait rapat dengan sejarah kedua-dua kampung.

Bekas Ketua Kampung Seri Mahsan, Poon Hoon Kong, memberitahu Malaysiakini pada asalnya hanya terdapat sebuah Kampung Baru Mahsan yang ditadbir oleh sebuah jawatankuasa kampung.

Sekitar penghujung 1990-an hingga tahun 2000, katanya, timbul pertelingkahan puak dalam MCA setempat menyebabkan kampung itu dipecah dua bahagian bagi menampung kumpulan yang saling bersaing.

Poon Hoon Kong

Seri Mahsan kemudian diwujudkan sebagai kampung berasingan, menjadikan kawasan itu mempunyai dua cawangan MCA, dua jawatankuasa kampung dan dua ketua kampung.

Lebih dua dekad kemudian, pintu gerbang memasuki Kampung Seri Mahsan masih menggunakan nama “Kampung Baru Mahsan”.

Nama yang hampir sama itu mungkin menjelaskan bagaimana kekeliruan pentadbiran boleh berlaku.

Namun, ia tidak menjelaskan mengapa calon PAS disenaraikan sejak awal untuk mengetuai sebuah daripada dua kampung baru Cina itu.

Sebab PAS rasa wajar

Pengerusi Gerakan Jempol, Phuan Er Cheng, percaya masalah itu bermula lebih awal, ketika rundingan mengenai pelantikan berkenaan berlangsung.

Apabila Malaysiakini bertanya mengapa MCA kemudian mendesak supaya kedua-dua calon bertukar tempat jika parti itu bimbang kontroversi tersebut berlarutan, Phuan menjawab: “Sebab tak ada rundingan pada peringkat awal.”

Katanya, pembahagian jawatan tidak dimuktamadkan dengan sewajarnya sebelum nama calon dikemukakan. Perbincangan hanya berlangsung selepas senarai dihantar dan kontroversi tercetus.

“Apabila nama sudah dihantar dan (timbul isu) barulah mereka cuba menyelesaikannya, langkah pertama itu pun dah salah,” katanya.

Dari segi urutan peristiwa, penjelasan itu lebih hampir dengan kenyataan Mohd Rafi bahawa dia pada mulanya ditugaskan mengetuai Kampung Baru Mahsan.

Namun, penjelasan tersebut masih berbeza daripada pendirian MCA bahawa satu aturan telah dipersetujui lebih awal namun timbu masalah apabila berlaku kekeliruan di peringkat pejabat daerah.

Menjelaskan kemelut berkenaan, Mohd Fairuz memberikan gambaran tentang sebab PAS mahukan satu daripada dua jawatan ketua kampung di situ.

Mohd Fairuz Mohd Isa

Katanya, ketika kempen PRN lagi beberapa penduduk Melayu di kawasan itu pernah bertanya mengapa tidak boleh ada satu daripada dua jawatankuasa kampung terbabit diketuai oleh wakil masyarakat Melayu.

“Sekarang ni dah banyak taman di situ. Kebanyakan taman tu orang Melayu ramai.

“Maknanya, semasa saya berbincang (ketika) berkempen itu, orang Melayu di situ mengharapkan apa salahnya salah satu jawatankuasa tersebut diketuai orang Melayu,” katanya.

Mohd Fairuz mendakwa dia tidak memberikan komitmen terhadap cadangan itu ketika kempen, sebaliknya memberitahu penduduk bahawa perkara tersebut boleh dibincangkan semula selepas PRN.

Selepas PAS memenangi kerusi Serting dan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, katanya, pelantikan ketua kampung dibincangkan dengan BN.

Dia berhujah bahawa Mohd Rafi merupakan calon yang sesuai kerana mampu berkomunikasi dengan penduduk Melayu, mewakili masyarakat India dan pada masa sama bersedia berkhidmat kepada penduduk Cina.

Kesan secara langsung pada hidup seharian

Jika diteliti secara keseluruhan, keterangan itu menunjukkan bahawa kemasukan calon PAS dalam senarai pelantikan ketua kampung di Mahsan bukanlah sesuatu yang hanya berlaku selepas pejabat daerah didakwa melakukan kesilapan.

Sekurang-kurangnya, cadangan supaya dua jawatankuasa kampung itu diketuai wakil daripada masyarakat berbeza sudah dibangkitkan ketika kempen lagi.

Apa yang masih tidak jelas ialah sama ada Mohd Rafi pada asalnya diperuntukkan jawatan Ketua Kampung Baru Mahsan atau Kampung Seri Mahsan. Keterangan pihak-pihak terlibat tidak sepenuhnya sepadan.

Untuk rekod, ketua kampung menerima elaun kerajaan negeri sebanyak RM900 sebulan sahaja, namun kedudukan itu bukanlah tentang imbuhan kewangan saja, sebaliknya lebih daripada sekadar simbolik.

Poon berkata penduduk sering merujuk kepada ketua kampung mengenai isu infrastruktur, masalah harian masyarakat dan juga pertikaian dalam kalangan masyarakat setempat.

Apabila sesuatu acara komuniti memerlukan urusan dengan agensi kerajaan, tambahnya, ketua kampung juga lazimnya menjadi orang pertama yang dihubungi untuk menyelaraskan perkara berkenaan,.

Bekas Ketua Kampung Baru Mahsan, Wong Kong Fowi, 69, memberikan contoh sambutan tahunan Yu Lan atau Festival Hantu Lapar.

Wong Kong Fowi

Katanya, ketika penduduk menganjurkan acara itu dulu, dia membantu menguruskan permohonan kepada PBT dan berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan kebenaran.

Bagi kebanyakan penduduk kampung baru, identiti ketua kampung bukan sekadar soal politik kepartian yang jauh daripada kehidupan mereka. Ia memberi kesan langsung terhadap urusan seharian.

Yap Yong Fatt, 78, antara penduduk yang ditemui Malaysiakini, pada mulanya kelihatan tidak begitu bimbang apabila ditanya adakah pelantikan calon PAS sebagai ketua kampung akan membawa perubahan.

“Saya rasa tidak banyak beza. Siapa pun yang menjadi ketua kampung, sama saja,” katanya.

Yap Yong Fatt

Namun, apabila perbualan beralih kepada Festival Hantu Lapar, dia mengakui mempunyai keraguan.

“Saya bimbang apabila kami mengadakan upacara sembahyang Festival Hantu Lapar, mungkin akan ada gangguan,” kata anggota MCA itu.

Yap turut memberitahu penguasaan bahasa Melayunya adalah terhad, justeru dia risau juga jika berdepan dengan masalah komunikasi semasa berhubung dengan ketua kampung yang baru.

Seorang lagi penduduk berusia lingkungan 60-an dan enggan dinamakan turut menyuarakan kebimbangan serupa.

Katanya, kedua-dua kampung Mahsan secara tradisinya diketuai tokoh berbangsa Cina. Dalam keadaan begitu, katanya, paling tidak ia akan memudahkan penduduk berkomunikasi apabila memerlukan bantuan.

“Kalau berlaku sesuatu, saya risau akan berdepan dengan kesukaran akibat masalah bahasa,” katanya.

Dia turut membangkitkan kebimbangan mengenai penggunaan dewan komuniti.

Tak ada masalah dengan isu babi

Majlis perkahwinan, acara keagamaan dan kegiatan masyarakat mungkin melibatkan daging babi serta alkohol, katanya. Sebarang sekatan pada masa depan akan menjejaskan adat tempatan yang telah lama diamalkan.

“Kalau semua itu tidak boleh, memang susahlah.

“Dalam majlis perkahwinan atau sambutan untuk dewa, kalau tiba-tiba daging babi tak boleh dihidangkan, itu akan jadi masalah,” katanya.

Laporan awal media berbahasa Cina menyebut Mohd Rafi boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Mandarin dan Hakka.

Namun, ketika Malaysiakini dan wartawan media berbahasa Cina tempatan bertanya secara langsung, Mohd Rafi berkata dia tidak boleh bertutur dalam bahasa Mandarin, namun ada kebolehan bertutur dalam loghat Hakka.

Mohd Rafi Manimaran Abdullah

Dia memperkenalkan dirinya dalam bahasa Hakka dan memberitahu penduduk Cina setempat bahawa mereka boleh menemuinya jika menghadapi sebarang masalah.

Mohd Rafi, 53, dilahirkan di Port Dickson dan berpindah ke Kampung Baru Ladang Jelebu ketika berusia enam tahun.

Katanya, dia membesar bersama jiran dan rakan berbangsa Cina yang membolehkannya mempelajari bahasa Hakka. Dia kemudian memeluk Islam dan sudah hampir 30 tahun menjadi anggota PAS.

Dia telah menetap di Mahsan selama kira-kira dua dekad.

Mengenai kebimbangan penduduk berhubung isu agama dan budaya, Mohd Rafi menegaskan bahawa dia tidak akan campur tangan dalam amalan keagamaan atau adat masyarakat Cina.

Ditanya jika dia boleh menerima acara atau sambutan masyarakat yang melibatkan daging babi dan alkohol, dia menjawab ya.

“Kerana saya tahu ini rumah masyarakat Cina,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fairuz menjawab “tiada masalah” apabila ditanya Malaysiakini sama ada daging babi dan alkohol masih boleh atau dilarang untuk dihidangkan dalam acara masyarakat Cina di tempat awam.

Katanya, dia pernah menghadiri upacara pengebumian orang Cina yang menyajikan daging babi di hadapannya dan tidak pernah menganggapnya sebagai masalah.

“Babi depan saya pun saya kata tak ada masalah. Saya bukan makan pun,” katanya lagi.

Mohd Fairuz berkata dia memahami kebimbangan masyarakat Cina jika ketua kampung yang mempunyai kaitan dengan PAS mungkin membawa sekatan terhadap amalan keagamaan, pakaian atau aspek kehidupan harian yang lain.

“Saya tahu, masyarakat you takut benda ni, tak boleh buat sembahyang, tak boleh pakai seluar pendeklah, itulah, inilah. Siapa saya nak melarang? Siapa kami nak melarang?” katanya.

Patut saling jaga sensitiviti

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa aktiviti di tempat awam tetap perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat lain demi menjaga keharmonian orang ramai.

Jika melibatkan sensitiviti misalnya, kata Mohd Rafi, ia perlu mendapat keizinan terlebih dulu.

Pun begitu dia yakin sebarang kekeliruan atau masalah boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Mohd Fairuz dan Mohd Rafi berulang kali menyebut pertambahan kawasan perumahan di sekitar Kampung Seri Mahsan – yang sebahagiannya ramai penduduk Melayu – menjadi antara alasan mengapa pelantikan ketua kampung tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan komposisi kaum di kampung baru tradisional Cina.

Malaysiakini mendapati kawasan perumahan tersebut – dari segi pentadbirannya – berada bawah Majlis Perbandaran Jempol dan sebarang urusan setempat melibatkan PBT tersebut.

Pun begitu peruntukan kerajaan pusat khusus untuk kampung baru Cina hanya boleh dibelanjakan bagi kemudahan yang ada dalam kampung baru itu sendiri.

Papan tanda menunjukkan kawasan Kampung Seri Mahsan

Ketua Kampung Seri Mahsan mungkin masih boleh membantu penduduk di kawasan perumahan berhampiran, tetapi keupayaannya memberikan khidmat kepada mereka tidak bermakna kawasan tersebut secara pentadbiran menjadi sebahagian daripada Kampung Seri Mahsan.

Perbezaan itu juga bermakna pertambahan penduduk Melayu di sekitar kampung baru tersebut tidak dengan sendirinya menunjukkan bahawa sempadan rasmi kampung baru Cina itu telah berubah.

Ahli Parlimen Maran (PAS), Ismail Muttalib, sebelum ini pernah mengaitkan sejarah kampung baru Cina dengan Parti Komunis Malaya (PKM) di parlimen dan mempersoalkan sama ada kerajaan patut atau tidak menyusun semula petempatan terbabit supaya menjadi komuniti yang lebih rencam dari segi kaum.

Dengan seorang ahli PAS bakal mengetuai sebuah kampung baru Cina, kenyataan itu kembali diperkatakan.

Ketika diminta mengulas perkara itu oleh Malaysiakini, Mohd Fairuz berkata, isu berkenaan merupakan cerita lama.

“Cerita dululah... sekarang ini kalau awak pun dari kampung baru, takkan saya nak marah kat awak pula.

“Kita patut saling menjaga sensitiviti antara satu sama lain,” katanya.

Tambahnya lagi, kampung baru Cina kini turut menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan tidak banyak manfaatnya jika kontroversi lama yang sensitif terus diperbesar-besarkan.

“Kalau kita asyik mengambil isu kecil dan membesarkannya, sensitiviti ini akan berterusan selama-lamanya. Sampai bila kita nak teruskan perkara ini?” tambah Mohd Fairuz.

Langkah yang lebih baik, katanya, ialah mencari titik persamaan untuk berbincang, membina hubungan dan hidup bersama.

Mahsan dan Seri Mahsan dahulunya sebuah kampung baru Cina sebelum persaingan politik setempat memisahkannya kepada dua jawatankuasa kampung lebih dua dekad lalu.

Kini, kedua-dua jawatan ketua kampung itu sekali lagi menjadi sebahagian daripada rundingan politik.

Buat pertama kali, jawatan akar umbi yang sekian lama didominasi parti berasaskan kaum Cina dan pemimpin masyarakat Cina di Negeri Sembilan bakal disandang oleh calon PAS.

Menurut laporan media berbahasa Cina, empat lagi pelantikan ketua kampung baru di Negeri Sembilan –Rasah, Rahang, Gemas dan Ayer Kuning – masih belum dimuktamadkan ketika laporan ini disiapkan.

Bagaimana kemelut itu diselesaikan nanti akan menentukan sama ada kemelut di Seri Mahsan kekal sebagai kes terpencil atau menjadi petanda awal kepada perubahan lebih besar dalam politik kampung baru Cina di Negeri Sembilan.

Malah ia mungkin merebak ke tempat lain.


Laporan oleh Lee Way Loon, Khoo Shi Yuan dan Tan Fu Qi.