Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penanti: Pengundian pagi lembab
Diterbitkan:  May 31, 2009 9:06 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Penanti bermula jam 8 pagi tadi tetapi tidak ramai yang keluar mengundi awal ini.

Kebanyakan yang keluar mengundi awal terdiri daripada golongan warga emas.

Sebanyak 32 saluran mengundi di sembilan pusat pengundian. Lapan daripada pusat tersebut ditempatkan di sekolah dan sebuah lagi di dewan orang ramai.

penanti_guan eng_kitsiang_31052009 Pusat-pusat mengundi itu ialah SMK Guar Perahu (empat saluran), SK Guar Perahu (lima), Dewan Orang Ramai Kampung Tun Sardon, Ara Kuda (satu), SK Mengkuang (empat), SJK (C) Perkampungan Sungai Lembu (satu), SMK Mengkuang (tiga).

SMK Penanti (tiga saluran), SK Tanah Liat (lapan) dan SRJK(C) Jit Sin (A) Jalan Berapit mempunyai tiga saluran.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan ketua menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin.

Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Terdapat seramai 15,384 pengundi di DUN Penandi di mana 72.6 peratus daripadanya adalah Melayu, 24.2 peratus Cina, 2.4 peratus India dan 0.7 peratus kaum lain.

Suasana di sekitar pusat pengundian dilaporkan tenang. Juga tidak banyak kelihatan bendera-bendera parti. Manakala anggota polis pula berkawal di setiap pusat pengundian.

penanti_EC checking list_02_31052009 PKR - satu-satunya parti politik yang bertanding - menyediakan pondok panas di pusat-pusat pengundian walaupun ia tidak dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Dan hanya kegelintir pekerja PKR yang kelihatan menyemak senarai pengundi. Juga tidak kelihatan aktiviti merayu undi dijalankan.

Seorang calon bebas - Nai Khan - mengundi di Dewan Orang Ramai yang menempatkan Tadika Tun Sardon pada kira-kira jam 8.49 pagi (lihat video).

Beliau yang merupakan satu-satunya calon Bebas yang layak mengundi, diiringi oleh kira-kira lima orang penyokongnya.

Bagaimanapun, polis tidak membenarkannya mengadakan sidang akhbar di luar pusat pengundian tersebut.

Umno tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Penanti.

Pemimpin PKR mendakwa - dan membuat laporan polis semalam - bahawa Umno menggesa ahli-ahlinya supaya memulaukan pilihanraya kecil tersebut.

penanti_EC checking list_31052009 Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh timbalan pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa parti itu menganjurkan rombongan membawa ahli-ahlinya bercuti ke Thailand hari ini.

Bagaimanapun, ADUN PKR bagi Batu Maung, Abdul Malik Kassim bagaimanapun yakin ramai yang akan keluar mengundi hari ini.

Beliau juga berkata, calon PKR, Mansor akan menang dengan majoriti besar.

Keputusan pilihanraya kecil hari ini dijangka diumumkan pada jam 8.30 malam walaupun keputusan rasminya dapat diketahui sewal jam 6.30 petang.

SPR pula menjangka kira-kira 70 peratus pemilih akan keluar mengundi hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Aziz Yusof turut melawat pusat pengundian terbesar di Tanah Liat.

Beliau berharap pilihanraya kecil Penanti ini akan menjadi contoh dan berkata jumlah mereka yang keluar mengundi juga adalah menggalakkan.

.

Berita lanjut menyusul

ADS