Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Nazri Aziz berkata pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak sepatutnya membawa usul ke Parlimen untuk meminda Perlembagaan, bukannya mendesak keputusan itu disemak semula.

Kenyataan itu menyusul keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 November yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah, serta tindakan Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan berhubung perkara itu.

Menurut Nazri, kuasa memberikan pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan keputusan yang dibuat melalui Lembaga Pengampunan perlu dihormati semua pihak.

Katanya, Kabinet tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan lembaga itu, manakala pihak yang tidak bersetuju dengan kuasa berkenaan boleh menggunakan saluran Parlimen untuk meminda Perlembagaan.

“Kalau tak setuju bawalah usul dalam Parlimen, pinda Perlembagaan, tarik balik kuasa itu. Itu sahaja.

“Kita kena ikut. Itu memang kuasa baginda dan termaktub dalam Perlembagaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu turut menyifatkan tindakan mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan sebagai tidak menghormati institusi diraja.

“Kalau keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan terimalah, nak pertikai apa lagi, nak semak apa lagi?

“Jangan ajar rakyat menderhaka,” katanya.

Nazri berkata tindakan membawa perkara itu ke Kabinet untuk disemak juga tidak wajar kerana ia seolah-olah mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tak setuju nak bawa ke Kabinet, nak semaklah. Tak ada semakan sebab itu adalah kuasa Agong.

“Kalau kita buat semakan ke apa, maknanya kita tidak menaruh kepercayaan kepada Agong. Itu tak boleh, itu kuasa dia. Dia buat keputusan sudahlah,” katanya.

Pada 18 Sept lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dengan syarat Najib membayar denda RM50 juta

Pada 10 Nov lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib menjalani baki hukuman bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Aslam Zainuddin turut menetapkan Najib perlu kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 untuk menjalani hukuman penjara bagi kes 1MDB.

Pada hari sama, Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan berhubung tahanan rumah itu.

Antara lain, Badan Peguam berhujah bahawa mekanisme tahanan rumah tidak termasuk dalam bentuk pengampunan yang diperuntukkan Perlembagaan.

Pada 12 Nov, Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan berkenaan yang disampaikan oleh Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi kepada Hakim Mahkamah Tinggi S Indra Nehru.

Menurutnya, Peguam Negara membantah permohonan kebenaran itu kerana keputusan yang dipertikaikan itu berkaitan dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang tidak boleh diadili di mahkamah.