Pesan Hadi di Melaka: Dalam sejarah, sejahat-jahat orang Islam tak sezalim bukan Islam
PRN MELAKA | Menjelang tidak sampai 48 jam sebelum orang Melaka mengundi bagi menentukan kerajaan baru di negeri itu, Abdul Hadi Awang tampil memberi peringatan daripada PAS tentang pentingnya umat Islam menunaikan kewajipan mengundi.
Berucap di pentas Grand Finale BN dan PN, Presiden PAS berkenaan menegaskan bahawa dalam Islam, perkiraan politik dibuat berlandaskan faktor dosa dan pahala berbanding orang bukan Islam yang didakwanya “zalim”.
Katanya, kesan daripada orang Islam tidak keluar mengundi ialah “orang lain” yang akan jadi pemerintah dan didakwanya bakal bertindak mengikut perkiraan mereka semata-mata serta mengabaikan amanah yang diwajibkan Allah.
"Sebab itu orang Islam mesti tunaikan kewajipan ini (keluar mengundi) untuk memimpin seluruh manusia.
"Sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam," jelasnya di hadapan lebih 1,000 penyokong PN dan BN di Bukit Katil, Melaka, malam tadi.
Sementara itu Setiausaha Politik Abdul Hadi, Syahir Sulaiman, memberitahu Malaysiakini, kenyataan dibuat ahli politik terbabit sebenarnya dibuat dengan merujuk kepada apa yang berlaku dalam sejarah pemerintahan Islam.
Ahli Parlimen Marang dan PAS itu turut menyorot sejarah termasuk kedatangan Islam di Melaka sebelum negeri itu dijajah pada 1511 serta bagaimana agama itu tidak terhapus di negara ini walaupun dijajah ratusan tahun.
Acara kemuncak kempen PRN Melaka itu mempamerkan keserasian dan perpaduan kukuh PN dan BN dan seolah-olah sejarah persengketaan lama mereka – khususnya di antara Umno dan PAS – sudah dilupakan sama sekali.
Acara yang dianjurkan oleh PN itu didahului dengan ucapan barisan pemimpin parti komponen PN dan BN.
Antaranya Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir; Presiden MCA, Wee Ka Siong; Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Dominic Lau; ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan; Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Untuk rekod, Abdul Hadi tidak mempunya sebarang jawatan rasmi dalam PN.
Pesona pantun empat kerat Ahmad
Sementara itu Tuan Ibrahim tampil membidas tindakan PH yang didakwanya menyerang PAS seolah-olah merestui rasuah dalam kes pengampunan bersyarat diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Menurut Tuan Ibrahim, langkah PH itu menujukkan gabungan terbabit tiada isu bagi meyakinkan penngundi di Melaka, justeru PAS dikaitkan dengan keringanan hukuman yang diberikan kepada Najib sehingga bekas perdana menteri itu boleh berada di rumah bagi menghabiskan tempoh hukuman penjara.
Kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, dalam keadaan apa pun PAS tetap berprinsip dan ia didukung secara bersama oleh PN dan BN.
"Lembaga pengampunan sudah buat keputusan dan sepatutnya kita sokong,” katanya merujuk kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang memutuskan Najib diizin untuk meninggalkan Penjara Kajang dan ditahan di rumah sendiri di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Tuan Ibrahim turut menggunakan ruang ceramah itu untuk mengecam DAP serta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, terkait kesan daripada kelonggaran yang diberikan kepada Najib.
“Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) letak jawatan (menteri), hari ini perdana menteri kata dia tak terima lagi surat peletakan jawatan (Loke).
"Barang kali ini opera Cina yang cuba mengelirukan (rakyat), sebab itu kita cabar kalau betul prinsip (itu) DAP, kita cabar semua ahli parlimen DAP letak jawatan," katanya lagi.
Terdahulu Loke mengotakan janjinya untuk meletakkan jawatan menteri pengangkutan susulan pemindahan Najib yang kembali menjejakkan kaki di rumahnya pada Selasa lalu.
Baca: Isteri, anak, menantu dan cucu boleh tinggal bersama Najib
Untuk rekod surat peletakan jawatan Loke sudah diserahkan kepada Anwar. Persoalan sekarang ialah sama ada Anwar menerima peletakan jawatan tersebut atau sebaliknya.
Anwar malah menegaskan bahawa dia terbuka untuk berbincang dengan Loke berhubung peletakan jawatan itu. Pada masa sama Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban bertegas bahawa keputusan itu adalah muktamad.
Lau pula antara lain tampil menyeru penyokong BN dan PN supaya memberi undi kepada calon tunggal Gerakan yang bertanding di DUN Ayer Keroh.
Walaupun dengan kehadiran lebih 90 peratus penyokong Melayu, Lau mengambil kesempatan berucap dalam bahasa Cina dan disambut dengan bersemangat mereka yang hadir.
Gerakan mempertaruhkan Michael Gan Peng Lam dalam usaha merampas kerusi Ayer Keroh yang dipertahankan penyandangnya, Kerk Chee Yee (DAP). Dua lagi calon yang bersaing di situ ialah Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (Bersama) dan Mohd Hamnaim Mohamad (Bersatu).
Dalam penentuan esok, BN bertanding di 23 kerusi, manakala PN bertanding di lima kerusi lain.
PH pula meletakkan calon di 24 kerusi dan Bersama – yang juga parti serpihan PKR – bertanding di 16 kerusi.
Bersatu yang sudah dipinggirkan PN pula bertanding di tujuh kerusi, manakala sekutunya Putra membuat percubaan tunggal di DUN Gadek.
Sementara itu turut mencuri tumpuan dalam ceramah malam tadi ialah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian. Seperti selalu dia tampil bersahaja dan menyampaikan pantun sekali gus disusuli tepukan dan sorakan penyokong.
Dua rangkap pantung disampaikan Ahmad ialah:
Jika tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan;
Jika tak mahu kena kencing,
Jangan sokong Pakatan Harapan.
Jika tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan;
Jika tak mahu kena kencing,
Undi Barisan (BN) dan Perikatan (PN).
Timbalan menteri kerja raya itu turut meminta penyokong supaya menyambut kata-katanya yang meniru laungan yang dipopularkan PH di era pembangkang dahulu: "Hidup, hidup! Hidup BN!” dan “Hidup, hidup! Hidup PN!” serta “Hidup, hidup! Hidup rakyat!"
No wonder the brainwashed party is in the doldrums....
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/4353454343_893297.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.