Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nafi kekalahannya tanda penolakan kepimpinan Nik Aziz

Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa menafikan kekalahannya untuk merebut jawatan timbalan presiden PAS, sebagai tanda penolakan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat di negeri itu.

"PAS tidak bergantung kepada tokoh," katanya Husam ketika ditemui wartawan di muktamar PAS di Shah Alam hari ini.

Di kalangan masyarakat PAS, Husam dilihat sebagai 'anak emas' kepada Nik Aziz yang juga merupakan mursyidul am PAS.

husam musa 02 Berikutan itu, timbul tanggapan seolah-olah kekalahan Husam itu juga mencerminkan penolakan terhadap kepimpinan Nik Aziz.

Dalam pemilihan kali ini, Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan timbalan presiden PAS dengan memperolehi 480 undi, Husam (281) dan seorang lagi calon Mohamad Sabu mendapat 261 undi.

Ekoran kekalahan beliau, Husam dan Mohamad Sabu yang sebelum ini merupakan naib-naib presiden PAS, tidak lagi memegang sebarang jawatan tinggi parti di peringkat pusat.

Keputusan pemilihan tersebut diumumkan oleh Datuk Mustafa Ali mengumumkankeputusan tersebut pada kira-kira jam 10 pagi ini.

Ditanya tentang masa depan karier politiknya, Husam hanya mengatakan perkara itu tidak penting kerana beliau "dari mula menggangotai PAS sebagai aktivis".

Bagaimanapun, tambahnya, pelbagai pihak mempunyai peranan dalam parti itu mengikut kedudukan masing-masing.

"Mana boleh terpinggir, melukut pun ada peranannya," katanya di hadapan kira-kira 50 wartawan yang mengerumuni beliau bagi mendapat reaksinya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas isu kerajaan perpaduan yang dicadangnya presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Husam berkata:

"Sampai hari ini saya tak faham macam mana ia boleh berjaya. Saya tak faham, kalau kita katakan Afrika Selatan atau England, itu berlaku apabila tidak ada satu parti yang ada majoriti dalam parlimen.

"Dalam keadaan itu, semua parti bersedia bekerjasama. Tetapi dalam kes di Malaysia, Umno dan BN telah ada majoriti. Dan Umno tidak tawarkan pembangkang menyertai kerajaan," katanya.

ADS