Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar menyelar kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang menuduh PH masih berkelakuan seperti pembangkang walaupun sudah menjadi kerajaan.

Mahfuz berkata, Mohamad yang juga pengerusi BN sepatutnya memeriksa DNA politik Umno dan BN terlebih dahulu sebelum sibuk mengesan perkara berkenaan dalam PH.

Menurutnya, tindakan Umno dan BN bekerjasama dengan PAS serta PN menerusi manifesto dan strategi pilihan raya bersama untuk menentang PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan percanggahan politik yang nyata.

"Siapa sebenarnya yang sedang berkelakuan seperti pembangkang? PH yang menjadi rakan kerajaan di Putrajaya, atau Umno BN yang masih menikmati kuasa dalam Kerajaan Madani tetapi memilih janda lama PAS dan PN sebagai rakan strategik untuk menentang PH dalam PRN Melaka?

"PH dituduh berkelakuan seperti pembangkang kerana mengkritik BN. Tetapi Umno BN yang duduk dalam kabinet Kerajaan Madani sedang berganding bahu dengan PAS dan PN untuk menewaskan PH.

“Kalau itu bukan politik pembangkang dari dalam kerajaan, apa lagi namanya?" soalnya dalam kenyataan media di Jasin Bestari, hari ini.

Mahfuz turut mengingatkan Umno dan BN agar tidak menjadi penumpang yang menikmati hasil perjalanan tetapi pada masa sama menebuk lubang pada perahu yang membawanya.

Dia menegaskan kerajaan Madani tidak memerlukan rakan yang hanya setia ketika membahagikan jawatan tetapi berubah menjadi lawan apabila tiba pilihan raya.

Sehubungan itu, dia menggesa Umno dan BN berani membuat keputusan berhubung kedudukan mereka dalam Kerajaan Madani jika sudah memilih PAS dan PN sebagai rakan strategik politik.

"Jangan terus berpaut pada kuasa kerajaan sambil membina kekuatan bersama pihak yang mahu menumbangkan rakan kerajaan sendiri. Jangan tunggu PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) memecat mereka, kemudian berpura-pura menjadi mangsa politik.

"Kalau sudah jatuh hati kepada janda lama PAS dan PN, jangan terus berpura-pura setia kepada PH. Jangan main kayu tiga. Berani membuat keputusan, berani memikul tanggungjawab," katanya lagi.

Mahfuz juga mengingatkan rakyat bahawa kepimpinan Umno ibarat musang yang menjaga reban sambil memanggil musang lain masuk untuk makan ayam dalam reban yang sama.