Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028, berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lepas terhadap Najib, 73.

Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam penghakimannya, Aslam berkata beliau telah membaca perintah pengampunan bersyarat, bukti pembayaran penuh denda, perintah terdahulu dan dokumen lain yang berkaitan.

Najib Razak selepas dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani tahanan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur

"Dengan ini, mahkamah membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 Nov 2026 dan digantikan sepenuhnya dengan perintah dalam permohonan.

"Selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat dalam kes SRC International Sdn Bhd, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di alamat No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta hingga 23 Ogos 2028," katanya.

Najib, yang hadir di galeri awam memakai kurta biru dan ditemani anaknya, Nooryana Najwa dilihat tersenyum ketika mendengar keputusan itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian meninggalkan mahkamah untuk ke Penjara Kajang dengan diiringi oleh pegawai penjara.

Terdahulu, mahkamah mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyemak perintah pelepasan bertarikh 6 Nov, yang dikeluarkan selepas denda RM50 juta dalam kes SRC International dilunaskan. Pembayaran itu memenuhi satu daripada syarat pengampunan.

Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar berkata AGC memohon perintah baru yang selaras dengan pengampunan bersyarat itu. AGC mahu mendapatkan penjelasan sama ada perintah pelepasan hanya menyentuh komponen denda atau turut memberi kesan kepada baki hukuman penjara Najib.

Peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah berhujah pelepasan itu hanya merujuk kepada kewajipan membayar denda yang sudah dilunaskan.

Merujuk kepada amalan di United Kingdom, Shafee berkata pengampunan diraja merupakan tindakan eksekutif yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa penjara menerusi waran diraja, tanpa memerlukan perintah mahkamah baru. Dia membezakan kuasa memberi pengampunan itu daripada bidang kuasa mahkamah untuk menentukan sabitan dan hukuman.

Sidang Media Shafee Abdullah

Ditanya sama ada Najib akan tinggal bersama Rosmah di kediaman berkenaan, Shafee berkata perkara itu belum dapat dipastikan dan mungkin membabitkan ahli keluarga lain.

"Kami tidak tahu. Saya membayangkan kemungkinan seorang ahli keluarga, tetapi mungkin juga tidak. Kami tidak tahu," katanya kepada pemberita selepas prosiding.

Shafee turut berkata pihaknya belum mengetahui secara terperinci syarat tahanan rumah yang akan dikenakan terhadap Najib kerana perkara itu akan dimaklumkan kepadanya oleh pihak penjara.

Dia bagaimanapun menjelaskan bahawa pemenjaraan di rumah masih merupakan satu bentuk hukuman penjara kerana Najib tidak boleh meninggalkan kediamannya tanpa kebenaran khas atau alasan tertentu.

Najib kekal dalam tahanan selepas pelaksanaan tahanan rumah ditangguhkan pada 6 November sementara AGC meneliti tafsiran pengampunan bersyarat dan kesan perintah pelepasan terhadap baki hukuman penjaranya.

Pada 7 November, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah pengampunan bersyarat yang diperkenankan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan dilaksanakan sebagaimana diputuskan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim

Baginda turut menegaskan perintah itu khusus untuk hukuman dalam kes SRC International.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mensabitkannya atas tujuh pertuduhan membabitkan dana RM42 juta SRC International.

Dia mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya.

Lembaga Pengampunan kemudian pada 2 Februari 2024 mengumumkan hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan dendanya kepada RM50 juta, susulan mesyuarat lembaga pada 29 Januari.