Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kpg Buah Pala: Guan Eng minta bantuan Najib
Diterbitkan:  Jul 5, 2009 12:17 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Kerajaan Pulau Pinang akan menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meminta bantuan daripada kerajaan persekutuan untuk mengambil alih tanah di Kampung Buah Pala.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri mengakui tidak mampu untuk mengambil alih tanah di kampung itu daripada sebuah koperasi dan pemaju untuk membolehkan 23 keluarga terus tinggal di situ kerana kosnya terlalu tinggi.

"Kita boleh ambil alih tanah itu melalui Akta Pengambilan Tanah, kita harap kerajaan pusat boleh beri bantuan," katanya kepada pemberita hari ini, lapor Bernama.

Lim berkata walaupun kerajaan negeri prihatin terhadap nasib penduduk berkenaan yang diarahkan keluar dari kawasan itu, namun kos untuk mengambil alih semula tanah itu adalah terlalu tinggi memandangkan status tanah itu adalah pegangan bebas dan telah diluluskan untuk tujuan pembangunan.

Lim bagaimanapun, tidak menyatakan kos untuk mengambil alih tanah itu.

Beliau berharap kerajaan persekutuan dapat membantu kerajaan negeri mengambil balik tanah itu daripada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang dan membayar pampasan kepada pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

Penduduk Kampung Buah Pala terpaksa berpindah setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk kekal di tanah yang mereka duduki sejak sekian lama bagi memberi laluan kepada pemaju untuk membangunkan kawasan itu.

Bagaimanapun penduduk berkenaan enggan berpindah dan meminta kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah mereka itu.

ADS