Pengerusi Bersih rayu Raja-Raja Melayu teliti keadilan tahanan rumah Najib
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz merayu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya meneliti aspek keadilan dalam pemberian pengampunan kepada bekas perdana menteri Najib Razak, ketika rakyat Malaysia masih menanggung hutang berbilion ringgit akibat skandal 1MDB.
Menerusi dokumen bertajuk ‘Risalah al-Muluk’ bertarikh 13 Nov, Faisal mempersoalkan keputusan memberikan pengampunan kepada Najib sedangkan bekas perdana menteri itu masih berdepan satu lagi kes rasuah berprofil tinggi.
"Patik dengan penuh rendah diri memohon limpah perkenan untuk mempersembahkan pandangan yang tidak sependapat, kerana pada hemat patik tiada sempurna keadilan dan kesaksamaan pada keputusan itu," katanya.
Faisal turut membangkitkan beban hutang berkaitan 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, selain mengingatkan bahawa kesannya akan terus dirasai generasi akan datang.
Faisal berkata dia mengakui hak individu yang disabitkan kesalahan untuk memohon pengampunan, Faisal berpendapat pertimbangan itu sepatutnya ditangguhkan sehingga semua prosiding mahkamah selesai.
"Patik sama sekali tidak menafikan hak mana-mana individu yang disabitkan kesalahan untuk mengemukakan permohonan pengampunan.
"Namun demikian, pada hemat patik adalah lebih wajar jika pertimbangan untuk pengampunan sedemikian ditangguhkan terlebih dahulu sehingga segala prosiding perundangan yang masih berjalan diselesaikan sepenuhnya," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/03/4f834890c52624026a915c8756ccf9c1.jpg)
Najib dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur pada 10 Nov lalu untuk menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Perkembangan itu menyusuli pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada September lalu.
Sebelum itu, pengampunan diraja pada 2024 mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022 mengekalkan sabitan Najib atas tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Dalam kes berasingan, Mahkamah Tinggi pada Disember tahun lalu mensabitkan Najib atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.
Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion, namun telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
/file/attachments/orphans/NajibRazak1_213797.png)
Pada 7 Nov lalu, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa kuasa pengampunan diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati.
Menerusi kenyataan Istana Negara, baginda mengingatkan bahawa tindakan mempertikaikan pelaksanaan pengampunan selepas semua syarat dipenuhi boleh dianggap sebagai mengingkari titah diraja.
Jabatan Peguam Negara kemudian menjelaskan bahawa permohonan tafsiran mahkamah berhubung pengampunan itu tidak bermaksud mencabar kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.
Pengampunan bersyarat berkenaan hanya terpakai kepada hukuman Najib dalam kes SRC International dan tidak menjejaskan sabitannya dalam kes 1MDB yang berasingan.
'Beza pendapat bukan menjebat'
Sementara itu, Faisal turut merujuk ajaran Islam dan pemikiran politik tradisional Melayu bagi mengingatkan Raja-raja Melayu mengenai tanggungjawab mereka menegakkan keadilan tanpa mengira kedudukan seseorang.
Memetik pandangan Imam Al-Ghazali, Faisal berkata hubungan seseorang raja dengan Allah perlu diterjemahkan melalui layanan yang adil dan saksama terhadap rakyat.
"Justeru, akan terbitnya tanggungjawab Raja untuk memuliakan martabat setiap insan secara saksama, tanpa mengira darjat, keturunan, agama, mahupun bangsa.
"Sesungguhnya setiap anak Adam berhak dihormati dan dilayan dengan penuh keadilan, kerana kemuliaan seseorang itu tidak sewajarnya dibatasi oleh perbezaan darjat," katanya.
Faisal turut merujuk karya klasik Melayu Bustan Al-Salatin oleh Sheikh Nuruddin Ar-Raniri yang mengingatkan pemerintah supaya berlaku adil dan tidak menyokong kezaliman.
Dia berharap risalah itu menjadi peringatan dan pedoman kepada Raja-Raja Melayu dalam mempertimbangkan perkara yang boleh membawa kesusahan kepada negara dan rakyat.
Faisal mengakhiri risalah itu dengan ungkapan:
"Beza Pendapat Bukan Menjebat, Luah Rasa Bukan Menderhaka."
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/03/83863e06d87a75a930e54e65c89ef0fa.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.