Timbalan Setiausaha Agung DAP Ramkarpal Singh membidas Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said dengan menegaskan tindakan Umno sendiri, bukannya DAP yang menggugat kestabilan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata kerjasama politik Umno dengan PAS, serangan terbuka terhadap Anwar serta gesaan membubarkan parlimen menimbulkan persoalan mengenai komitmen parti berkenaan terhadap perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan.

"Jika mahu bercakap soal pengkhianatan kepercayaan atau pelanggaran syarat kerjasama politik dan perjanjian tersebut, rekod yang ada sudah cukup jelas.

"Tindakan Umno, bukannya DAP, yang telah menjejaskan persefahaman dan menguji batas perjanjian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramkarpal berkata demikian sebagai membalas kenyataan Azalina semalam yang menyelar Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo kerana menggesa menteri Umno meletakkan jawatan sekiranya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar.

Azalina menyifatkan gesaan itu sebagai kata dua secara terbuka terhadap rakan kerajaan yang bertentangan dengan semangat Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia, yang dimeterai pada 16 Dis 2022.

Dia turut mencadangkan DAP menggunakan mekanisme pengantaraan dalam perjanjian berkenaan bagi menyelesaikan pertikaian antara parti kerajaan.

Bagaimanapun, Ramkarpal menyifatkan pendirian Azalina sebagai "melucukan" dan menggesa pemimpin Umno itu menilai komitmen partinya sendiri.

"Dengan segala hormatnya, Azalina sepatutnya menilai secara jujur komitmen partinya terhadap kelangsungan kerajaan perpaduan yang stabil di bawah pimpinan Anwar Ibrahim," katanya.

Persoal kerjasama Umno-PAS

Ramkarpal membangkitkan tiga tindakan Umno yang menurutnya bercanggah dengan matlamat pembentukan kerajaan perpaduan, termasuk memastikan kestabilan politik, melaksanakan pembaharuan serta memupuk perpaduan sosial.

Pertama, katanya kerjasama politik Umno dan BN dengan PAS menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan parti itu untuk terus bersama PH dalam kerajaan persekutuan.

Dia merujuk perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan, selain kerjasama BN-PN dalam PRN Melaka yang berlangsung hari ini.

Di Johor, PAS sebelum ini mengarahkan penyokongnya menyokong calon BN di kawasan tertentu meskipun kedua-dua parti tidak memeterai pakatan rasmi.

Di Negeri Sembilan pula, BN dan PN bekerjasama dalam PRN Ogos lalu sebelum membentuk kerajaan negeri bersama.

"Bekerjasama dengan pembangkang sambil pada masa sama berada dalam pentadbiran kerajaan menimbulkan persoalan serius mengenai keikhlasan dan komitmen Umno terhadap mandat bersama gabungan ini, yang boleh menggugat kestabilan kerajaan secara serius," katanya.

Kedua, Ramkarpal membangkitkan kritikan terbuka pemimpin Umno terhadap Anwar yang didakwanya melemahkan kewibawaan perdana menteri serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

Dia turut mempersoalkan gesaan pemimpin Umno supaya parlimen dibubarkan walaupun parti itu masih menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

"Ketiga, gesaan pemimpin Umno supaya parlimen dibubarkan ketika kita masih mentadbir bersama sekali lagi menunjukkan sikap tidak mengendahkan sama sekali kestabilan yang telah kita janjikan kepada rakyat," katanya.

DAP tetap bersama Anwar

Pertikaian Umno dan DAP semakin memuncak susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Nov lalu yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara SRC International secara tahanan rumah.

Keputusan itu menyaksikan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengemukakan peletakan jawatan sebagai menteri pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Anwar semalam berkata dia belum menerima peletakan jawatan berkenaan dan mahu meneliti perkara itu terlebih dahulu.

Susulan perkembangan tersebut, beberapa pemimpin Umno mempertikaikan pendirian DAP serta menuduh parti itu menyumbang kepada ketidakstabilan politik.

Azalina semalam turut mengemukakan empat pilihan kepada DAP, termasuk menggunakan mekanisme pengantaraan, meneruskan kerjasama sedia ada, menyemak perjanjian kerajaan perpaduan atau menamatkan kerjasama politik yang menurutnya membawa kepada pembubaran Parlimen.

Ketua Penerangan Umno itu bagaimanapun menegaskan partinya kekal komited menyokong kepimpinan Anwar dan mempertahankan perjanjian berkenaan.

Ramkarpal menolak dakwaan DAP menggugat kestabilan kerajaan dengan menegaskan partinya kekal sebagai rakan gabungan yang berdisiplin dan boleh dipercayai.

Katanya, kerajaan perpaduan dibentuk untuk memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi, bukannya mencetuskan ketidaktentuan demi kepentingan parti tertentu.

"Kami kekal komited untuk menghormati syarat perjanjian tersebut serta menyokong agenda reformasi dan ekonomi perdana menteri.

"Namun, kami tidak akan teragak-agak untuk menyatakan kebenaran apabila integriti gabungan ini terjejas," katanya.