Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majlis Peguam, NGO turut desak tubuh suruhanjaya diraja

Majlis Peguam serta 16 NGO turut mendesak supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock, 30, yang dipercayai jatuh dari bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam semalam.

Mereka juga menuntut supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Ahmad Said Hamdan dan semua pegawai SPRM yang menyoal siasat Teo digantung serta-merta sehingga selesai siasatan suruhanjaya diraja tersebut.

NONE Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh.

Gesaan yang sama turut dibuat oleh kerajaan Selangor, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Majlis Peguam dan NGO berkenaan juga mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz supaya memohon maaf kepada keluarga Teoh berhubung kenyataannya yang bersifat spekulatif seolah-olah mangsa mati kerana terjun dari bangunan.

Mayat Teo - setiausaha politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah - ditemui pada jam 1.30 tengahari semalam, selepas disoal siasat berhubung dakwaan salahguna peruntukan DUN.

Mayatnya ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.

Kenyataan bersama Majlis Peguam dan NGO terbabit dibaca oleh Pengerusi Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), Wong Chin Huat dalam satu sidang media di ibunegara hari ini.

Mereka menyatakan rasa terkejut dan sedih dengan kematian Teoh, yang menurut mereka tidak sepatutnya berlaku.

"Malangnya, Teoh sekarang adalah mangsa kematian pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan di bawah SPRM.

Persoalan tidak terjawab

"Kami percaya semua rakyat Malaysia menuntut agar perdana menteri, melihat keadilan dalam kematian Teoh," kata kenyataan itu.

Turut hadir di sidang itu ialah Pengerusi Jawantankuasa Hak Asasi Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Liau Kok Fah; Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), V Gayathry; Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin dan Pengantara Parlimen Rakyat, Haris Ibrahim.

Menurut mereka, kejadian yang berlaku semalam, telah menimbulkan beberapa persoalan yang tidak mempunyai jawapan.

"Pertama, tidakkah tindakan SPRM melakukan siasatan di pejabat Ean Yong dan enam lagi exco Pakatan Rakyat yang didakwa salahguna peruntukan DUN kira-kira RM500,000 hingga RM600,000 bersifat terpilih dan bermotifkan politik? Kenapa siasatan terhadap skandal PKFZ bernilai RM12.5 billion dan "Istana Khir" tidak diteruskan dengan penuh semangat?

"Kedua, Teoh disoalsiasat selama kira-kira 10 jam 45 minit (iaitu) dari jam 5 petang Rabu hingga jam 3.45 pagi hari Khamis. Ini diakui sendiri oleh Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Datuk Shukri Abdull?

"Mengapa SPRM menyoalsiasat Teoh dalam keadaan tidak dapat diterima kerana tidur seperti mangsa penderaan mental dan kenapa beliau dinafikan untuk membawa penasihat undang-undangnya?" kata kenyataan itu lagi.

Tegakkan keadilan

Selain itu, mereka juga mempertikaikan, mengikut dakwaan Ean, iaitu Teoh gagal dihubungi selepas dia dibebaskan, dan mengapa dia tidak pulang ke rumah selepas dibenarkan berehat di lobi pejabat SPRM.

Mereka juga mempertikaikan berhubung kelambatan SPRM memanggil sidang akhbar memaklumkan tentang kematian Teo sedangkan mereka menyedarinya pada jam 1.30 tengahari.

"Kenapa? Kenapa SPRM memanggil sidang media hanya pada jam 5 petang, tiga setengah jam selepas menyedari kematiannya," kata kenyataan itu lagi.

Beliau juga mempertikaikan mengapa keluarga mangsa tidak dibenarkan untuk mengesahkan mayat tersebut dan memberi masa selama satu setengah jam untuk membawa ahli patologi.

"Rakyat Malaysia menuntut agar persoalan ini dijawab. Sekurang-kurangnya kami menuntut agar memastikan keadilan ditegakkan tanpa selindung dengan dengan penuh ketelusan dan kredibiliti," katanya.

.

ADS