'Kenapa terima RM50 juta? - anak Najib kecam tangguh tahanan rumah
Anak perempuan bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan mengapa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerima bayaran denda RM50 juta bagi membolehkan bapanya menyambung baki hukuman penjara di rumah, sekiranya masih terdapat halangan yang menghalang pembebasannya dari Penjara Kajang.
Nooryana Najwa mempersoalkan perkara itu susulan kekecohan berhubung pembebasan bapanya dari penjara yang sepatutnya berlaku semalam.
Najib pada awalnya dijangka pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah, namun rancangan itu akhirnya tidak menjadi kenyataan.
Menerusi hantaran di Instagram malam tadi, Nooryana berkata keluarganya difahamkan bahawa pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat utama bagi membolehkan Najib menjalani tahanan rumah.
Dia berkata demikian kerana pembayaran itu, yang diselesaikan oleh peguam Najib semalam menerusi sumbangan kepada tabung kutipan dana yang ditubuhkan Umno, telah dibuat pada sebelah pagi.
Menurutnya, pemahaman itu berdasarkan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 18 Sept susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan.
"Sebagai seorang anak, saya memang sangat kecewa, kami dah ikut apa yang ditetapkan dalam perintah pengampunan bersyarat tuanku - kumpul dana, kami bayar RM50 juta denda, kami ikut proses yang ditetapkan.
"Kalau ada syarat lain kenapa tak dimaklumkan dari awal? Dan kalau masih ada halangan, kenapa terima bayaran RM50 juta itu hari ini?" soalnya.
/file/attachments/orphans/najibrazak1_740838.png)
Dia berkata perkembangan terbaru itu mengingatkan keluarganya kepada "pengalaman pahit" ketika Najib sebelum ini berusaha mendapatkan tahanan rumah.
Ketua Penerangan Puteri Umno itu merujuk kepada titah tambahan yang menjadi pertikaian dalam pengampunan diraja terhadap bekas presiden Umno itu pada Februari 2024.
"Apa yang berlaku ini mengingatkan kami kepada pengalaman pahit titah adendum sebelum ini, so much back and forth, uncertainty, delay after delay.
"Setiap kali kami rasa ayah dah semakin hampir nak balik, ada je halangan baru. Sampai bila, kami cuma mohon keadilan, ketelusan, kami nak perintah tuanku dihormati dan kedaulatan undang-undang ditegakkan," katanya.
Nooryana turut berkata keluarganya pada awalnya dimaklumkan bahawa Najib akan pulang ke rumah pada jam 5 petang, namun waktu ketibaannya kemudian ditunda kepada 8.30 malam.
Katanya, sekitar jam 2 petang, pihak keluarga mendapat maklumat bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang cuba "menangguhkan" pembebasan Najib.
Tangguh sementara
Semalam, beberapa jam selepas Najib keluar dari Penjara Kajang pada sebelah petang, Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon supaya pelaksanaan tahanan rumahnya ditangguhkan sementara dengan serta-merta, sementara menunggu penjelasan berhubung persoalan undang-undang berkaitan pengampunan bersyarat itu.
Persoalan undang-undang yang dibangkitkan AGC berkisar pada pengampunan bersyarat bertarikh 18 Sept. AGC berkata pelbagai tafsiran terhadap perintah itu perlu diteliti sebelum sebarang tindakan diambil.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/08/d6edd73e16856017f16c9a82c5fc07fc.jpg)
AGC turut menyatakan bahawa status tahanan Najib perlu dikekalkan di "tempat tahanan sedia ada", yang difahami merujuk kepada Penjara Kajang.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini telah mewartakan kediaman Najib di Jalan Langgak Duta sebagai penjara.
Kenyataan itu mengundang bantahan peguam Najib yang mempersoalkan tindakan AGC, sambil menyatakan bahawa Peguam Negara Dusuki Mokhtar merupakan anggota Lembaga Pengampunan dan hadir dalam mesyuarat lembaga itu pada 18 Sept yang menasihati Yang di-Pertuan Agong.
Peguam Najib daripada firma Shafee & Co memberi amaran bahawa pendirian AGC itu boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah atau penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Mereka mendesak Jabatan Penjara mempercepatkan pembebasan Najib untuk menjalani tahanan rumah, selain mencabar AGC membawa persoalan berhubung pengampunan bersyarat itu ke mahkamah.
Tuntut penjelasan peguam negara
Dalam kenyataan berasingan malam tadi, Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said meminta AGC menjelaskan mengapa isu berkaitan tafsiran pengampunan bersyarat itu hanya dibangkitkan secara terbuka selepas Najib membayar denda RM50 juta.
"Umno menghormati kedudukan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang utama Kerajaan. Umno menggesa Jabatan Peguam Negara menjelaskan dengan segera asas undang-undang bagi penangguhan pelaksanaan tahanan di rumah," kata Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-template-06112026-28_207010.jpg)
Senada dengan Azalina, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata AGC sepatutnya menangani lebih awal sebarang kemungkinan masalah berkaitan perintah pengampunan bersyarat itu.
Dia khususnya merujuk kepada kebimbangan AGC mengenai kesan perintah berkenaan terhadap hukuman penjara berasingan yang dikenakan terhadap Najib berhubung kes 1MDB.
Ini mengambil kira keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 Okt yang menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dalam kes berkenaan.
"Sekiranya perkara yang perlu diteliti dan diambil kira itu berkait dengan penolakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) bagi kes 1MDB oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026, sepatutnya Jabatan Peguam Negara perlu mendapat klarifikasi daripada Mahkamah pada tarikh tersebut, bukannya setelah pihak pempetisyen bersusah payah mendapat dana kewangan bagi melangsaikan denda yang dikenakan ke atasnya.
'Justeru pihak kerajaan khususnya Jabatan Peguam Negara sebagai penjaga kepentingan awam (custodion of the public interest) perlu memberikan penjelasan yang jelas tanpa berselindung kepada awam kenapakah pelaksanaan hukuman tersebut kelihatan dilewat-lewatkan," katanya dalam kenyataan semalam.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/0101225c7a1b08e12f5fc11c0ae94841.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.