Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khir: Tidak adil timbulkan rasa benci pada SPRM
Diterbitkan:  Jul 17, 2009 4:04 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata adalah tidak adil bagi DAP dan PKR membuat pelbagai kenyataan bagi menimbulkan keraguan dan kebencian umum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kematian setiausaha politik exco kerajaan Selangor.

khir toyo Beliau mengucap takziah kepada keluarga Teoh Beng Hock ekoran kematiannya sangat tragis dan kontroversi dan berharap mereka, termasuk tunangnya tabah dan sabar menunggu keputusan siasatan Polis.

"Saya juga ingin meyatakan bahawa adalah tidak adil membuat tuduhan semberono terhadap SPRM tanpa menunggu keputusan hasil siasatan.

"Biarlah polis menyiasat terlebih dahulu dan jika tidak berpuas hati, mungkin satu suruhanjaya siasatan boleh ditubuhkan untuk melakukan siasatan," tulis Khir dalam blognya.

Mayat Teoh - setiausaha politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah - ditemui pada jam 1.30 tengahari semalam, selepas disoal siasat berhubung dakwaan salahguna peruntukan DUN.

Mayatnya ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.

"Kita kena faham siasatan SPRM bukan untuk dipolitikkan kerana ia memberi banyak tekanan emosi kepada ahli keluarga mereka yang terbabit jika disiarkan secara besar-besaran di dalam akhbar.

‘Isu banglo mewah'

"Ini turut dirasai oleh isteri dan anak-anak saya yang masih bersekolah," katanya sambil menambh beliau melalui keadaan yang sama apabila disiasat oleh SPRM apabila dilempar dengan tuduhan semasa dan selepas menjadi menteri besar.

"Malah semasa saya menjadi menteri besar dahulu, bukan sahaja fail dan dokumen diambil, saya sendiri dirakam percakapan selama lapan jam.

"Selepas tidak menjadi menteri besar pun boleh dikatakan setiap kes yang ditohmahkan ke atas saya akan disiasat oleh SPRM. Ini termasuk isu banglo saya yang mula disiasat oleh SPRM minggu lalu," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menjadi seperti beberapa ahli politik yang dengan sukarela memanggil sidang akhbar memberitahu dan mempersoalkan tindakan SPRM mengambil dokumen dan menyiasat pejabat mereka.

"Seingat saya tidak pernah SPRM membawa wartawan atau media ke mana-mana serbuan mereka. Malah jika tidak silap saya isu siasatan ini menjadi besar kerana wakil rakyat dari DAP sendiri membocorkannya kepada pemberita.

"Jadikanlah tragedi ini satu pengajaran yang terbaik kepada kita semua. Jangan politikkan siasatan SPRM sehingga menjadikan seolah-olah suruhanjaya ini bertindak atas kepentingan politik parti tertentu.

‘Mahu menagih simpati'

"Hakikatnya layanan yang sama termasuk pengambilan kenyataan selama lapan jam berlaku ke atas sesiapa sahaja yang difikirkan perlu oleh SPRM tanpa mengambil kira kedudukan dan parti," katanya.

Khir berkata, kebanyakan pemimpin BN akan cuba mengelakkan publisiti mengenai siasatan terhadap mereka, tetapi mendakwa pemimpin Pakatan suka mengambil tindakan menghebahkan tindakan SPRM ke atas mereka bagi tujuan menagih simpati dan mewujudkan keraguan ke atas siasatan yang dilakukan.

"Saya berharap ADUN dan Exco Kerajaan Pakatan bersedia disiasat dan jangan menyalahkan SPRM. Jangan gunakan media untuk meraih simpati.

"Jika mereka merasa marah, geram dan sakit hati kerana disiasat SPRM, demikian jugalah yang berlaku kepada pemimpin BN yang terpaksa melalui proses siasatan yang sama akibat tuduhan dan laporan yang dibuat oleh mereka sebelum ini.

"Cuma kami tidaklah menjadikan SPRM sebagai kambing hitam," katanya.

ADS