Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setelah menerima kecaman keras dan ancaman untuk dipulaukan, Kosmo! hari ini memohon maaf kerana mendedahkan sejarah peribadi pengarah terkenal Yasmin Ahmad yang dianggap mengaibkan.

Harian itu memohon kemaafan daripada keluarga pengarah filem itu, sahabat handainya dan juga pembaca yang tersinggung akibat pendedahan dalam berita Isnin lalu.

Permohonan maaf itu disiarkan di muka hadapan akhbar terbitan Utusan Melayu (M) Berhad itu dengan judul 'Keluarga Yasmin, Kosmo! mohon maaf.'

"Laporan bertajuk 'Takdir Yasmin' itu telah menerima pelbagai reaksi. Kosmo! prihatin dengan reaksi-reaksi itu.

"Sebagai sebuah akhbar yang dekat dengan masyarakat, Kosmo! ingin memohon maaf kepada ahli keluarga allahyarham Yasmin, sahabat handai dan para pembaca yang tersinggung dengan penyiaran berita tersebut," laporan tersebut dipetik.

Semalam, sekumpulan wartawan ingin mengirim surat bantahan kepada kumpulan media berpengaruh luas, termasuk berkempen kepada pengamal media yang rasa berang dengan berita itu agar turut serta.

Surat mereka kepada pengerusi kumpulan media berpengaruh besar itu Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin mengutuk Kosmo! dengan menyifatkan laporannya itu "hari paling gelap dalam sejarah kewartawanan Malaysia."

Tabloid tersebut melaporkan pengarah filem itu pernah terpilih sebagai naib juara bintang RTM pada 1975 dan penyerang bolasepak Melaka pada zaman persekolahannya.

Susulan artikel tersebut, agensi-agensi iklan turut merancang memulaukan akhbar tersebut dan harian berbahasa Cina Kwong Wah Yit Poh selama sebulan mulai 10 Ogos.

Awal minggu ini, aktivis popular Datuk Marina Mahathir mengecam keras akhbar berkenaan dan menggesa pembaca memulaukan akhbar berkenaan.

ADS