Kedudukan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perintah pelepasan buat Najib Razak.dan selepas membayar denda RM50 juta pada 6 November lalu mempunyai asas wajar bagi mendapatkan penjelasan kehakiman, kata ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Malah, kata Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, tindakan AGC berhubung perintah pelepasan itu bukan mempersoalkan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong, tetapi penting bagi mengelakkan sebarang keraguan dalam penguatkuasaan Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September lalu bagi kes SRC International yang melibatkan bekas perdana menteri itu.

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak di mahkamah sekitar September lalu

“Perintah pelepasan berkenaan seolah-olah menghendaki Najib dibebaskan tanpa syarat dan serta-merta sebaik sahaja dikeluarkan memandangkan denda RM50 juta sudah dibayar.

“Ini jelas bertentangan Perintah Pengampunan Bersyarat itu sendiri menghendaki Najib diletakkan di bawah tahanan rumah untuk terus menjalani baki hukumannya bagi kes SRC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramkarpal berkata, penggunaan perkataan 'pelepasan' dalam perintah itu boleh ditafsirkan sebagai dibebaskan secara mutlak, sedangkan Perintah Pengampunan Bersyarat menetapkan dia terus menjalani hukuman di rumah.

"Isu ini menjadi lebih rumit kerana dia juga tertakluk kepada hukuman bagi kes 1MDB yang perlu dijalani sejurus selesai hukuman kes SRC, memandangkan penggantungan pelaksanaan hukuman kes 1MDB belum diberikan setakat ini," katanya lagi.

Tambahnya, hukuman bagi kes 1MDB itu perlu dijalani serta-merta selepas tamat hukuman kes SRC, memandangkan tiada sebarang penangguhan pelaksanaan hukuman dibenarkan.

Peguam itu juga menjelaskan bahawa pewartaan kediaman Najib sebagai penjara hanya terpakai untuk hukuman kes SRC dan tidak merangkumi kes 1MDB.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim

"Jika Perintah Pelepasan itu ditafsirkan bahawa dia tamat menjalani hukuman kes SRC, maka dia mesti mula menjalani hukuman kes 1MDB di Penjara Kajang dan bukannya di kediamannya," katanya.

Sehubungan itu, dia berpendapat AGC berada di pihak yang betul untuk memohon penjelasan atau semakan semula daripada Mahkamah Tinggi berhubung Perintah Pelepasan berkenaan sebelum Najib dibenarkan pulang ke kediamannya.

Langkah penjelasan atau semakan tersebut perlu dilakukan segera bagi membetulkan potensi kesilapan pentadbiran keadilan tanpa mempersoalkan terma Perintah Pengampunan Bersyarat yang sememangnya sudah jelas.

Isu berkenaan timbul selepas Najib membayar denda RM50 juta pada 6 November lalu, sekali gus memenuhi syarat pengampunan yang diberikan Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.

Pengampunan itu membolehkan Najib – yang sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah atas dua kes berbeza – menjalani baki hukuman penjaranya di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Kawalan polis di sekitar rumah Najib di Jalan Langgak Golf, Bukit Tunku di Kuala Lumpur

Bagaimanapun untuk rekod pemenjaraan Najib, 73, ketika ini adalah atas sabitan tujuh pertuduhan melibatkan jenayah terkait penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Dia juga sudah disabitkan bersalah pada 26 Disember tahun lalu atas 25 pertuduhan melibatkan kes 1MDB – Tanore dan dihukum penjara 15 tahun dan denda keseluruhan RM11.38 bilion. Bagaimanapun pelaksanaan hukuman berkenaan ditangguhkan kerana Najib mengemukakan rayuan.